
Pengerusi PPBM Selangor Abdul Rashid Asari menyifatkan sebagai wajar keputusan Menteri Besar Amirudin Shari menunda bantuan kerajaan negeri sehingga selesai pilihan raya kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac.
Menurut Rashid, langkah itu akan menghindar pembangkang daripada menuduh Pakatan Harapan memberi “gula-gula” kepada pengundi.
“Semua bantuan ini di bawah insiatif peduli rakyat dan dilaksanakan bertahun lama. Kalau diteruskan waktu PRK, ia akan dijadikan isu oleh pembangkang.
“Kalah atau menang, program ini akan diteruskan. Saya rasa pemberhentian sementara tidak akan menjejaskan kempen kita di Semenyih sebab rakyat tahu dan faham. Ini bukan isu yg besar sebenarnya,” katanya kepada FMT.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata tindakan kerajaan negeri itu bagi mengelak timbul persepsi kerajaan negeri PH mahu “membeli undi” untuk PRK berkenaan.
Amirudin bagaimanapun berkata jika ada keperluan program rasmi sebagai menteri besar beliau tetap akan hadir terutama yang telah lama dirancang.
Dalam pada itu, pemantau pilihan raya Bersih 2.0 memuji Amirudin kerana menggantung bantuan program kerajaan negeri di Semenyih sehingga selesai PRK.
“Langkah ini mencerminkan tahap etika yang tinggi dan menyerlahkan kewibawaan pentadbiran beliau,” kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann.
Bagaimanapun, Fann menegaskan keperluan menetapkan peraturan jelas berhubung program dan majlis anjuran kerajaaan pada musim pilihan raya.
“Bersih menggesa semua parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menggubal peraturan sesuai mengenai aspek ini dalam menambahbaik undang-undang pilihan raya yang berkaitan,” tambah beliau.