Wajibkan daftar rakyat Malaysia mahu bekerja di luar negara, kata NGO

Kerajaan berkata, satu sistem pendaftaran akan diperkenalkan bagi rakyat Malaysia yang mahu bekerja di luar negara bagi melindungi mereka, tetapi sistem tersebut bersifat sukarela.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi manusia mengalu-alukan cadangan kerajaan mahu memperkenalkan satu sistem pendaftaran bagi rakyat negara ini yang ingin bekerja di luar negara bagi melindungi mereka daripada dieksploitasi.

Pengarah eksekutif North-South Initiative, Andrian Pereira berkata, rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara perlu mempunyai satu sistem insurans bagi memastikan mereka selamat.

“Tentulah ia perlu diwajibkan. Ia mendedahkan rakyat Malaysia kepada risiko kegiatan pemerdagangan orang dan eksploitasi. Ia mesti diwajibkan jika tujuannya ialah pekerjaan,” katanya kepada FMT.

Jika tidak katanya, lambat laun akan ada rakyat Malaysia yang dibawa balik dalam beg mayat seperti ribuan orang asing yang datang ke negara ini untuk bekerja dan mati di sini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, M Kuasegaran berkata, satu sistem pendaftaran akan diperkenalkan bagi rakyat Malaysia yang mahu bekerja di luar negara bagi melindungi mereka, tetapi sistem pendaftaran tersebut bersifat sukarela.

Beliau juga berkata, terdapat rancangan untuk menghidupkan semula Pusat Pengurusan Pekerjaan Luar Negara Malaysia (MOEMC).

Andrian berkata, pemulihan agensi sedemikian mestilah dibuat dengan kerjasama semua pemegang taruh bagi menjamin ia berjalan baik.

Katanya, telah tiba masanya Malaysia belajar daripada negara lain kerana negara ini jelas tidak mempunyai pengalaman berkaitan.

Andrian berkata, Filipina adalah negara terbaik yang boleh dicontohi. Ia mempunyai peraturan yang munasabah bagi memastikan rakyatnya yang mahu bekerja di luar negara mengikuti protokol tertentu sebelum keluar.

“Sistem di Filipina adalah wajib. Terdapat juga proses penapisan sebelum berlepas bagi memastikan pekerja migran itu sihat untuk keluar bekerja.”

Katanya, Malaysia juga tidak boleh mengabaikan tanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan yang baik di dalam negara. Ini berikutan laporan terdapatnya rakyat Malaysia yang mencari pekerjaaan tidak formal di Australia.

Alex Ong, wakil negara bagi pertubuhan Migrant Care berkata, penting bagi kerajaan memantau rakyat yang berada di luar negara.

Bagaimanapun katanya, ramai yang tidak mahu dipantau atau didapati bekerja secara haram di luar negara.

“Rakyat Malaysia yang bekerja secara haram di luar negara melanggar syarat visa lawatan sosial mereka. Ia sama dengan pekerja migran yang bekerja secara haram di Malaysia.”

Setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon mengalu-alukan inisiatif kerajaan untuk menghidupkan semula MOEME, tetapi berkata, penting dipastikan sekiranya pusat itu gagal berfungsi dengan berkesan sebelum ini disebabkan ketiadaan pegawai atau kerana sebab lain.

Beliau berkata, dilaporkan terdapat kira-kira 1 juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara, dan adalah mengecewakan sekiranya mereka berdepan risiko dieksploitasi.

“Walaupun didakwa 47 pekerja itu berjaya pulang baru-baru ini selepas mereka ditangkap kerana dikatakan terbabit dalam sindiket perjudian, namun kita tidak tahu gambaran sebenar dakwaan itu.

“Bagaimanapun, adalah biasa pekerja warga asing, terutama yang tidak mahir, terdedah kepada diskriminasi di banyak negara, tanpa mengira status kredibiliti mereka dalam melindungi hak asasi manusia.”

“Jelaslah golongan itu mencari pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lebih tinggi berbanding gaji yang dibayar di Malaysia.

“Bagaimanapun, kita perlu menghormati kebebasan mereka mencari pekerjaan di mana-mana juga, dan menjadi tanggungjawab negara memastikan mereka dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi,” katanya.

Solomon berkata, sebuah suruhanjaya yang melibatkan MTUC, Persekutuan Majikan Malaysia dan kementerian perlu diwujudkan segera untuk memantau dan menangani masalah yang dihadapi rakyat yang bekerja di luar negara.

Katanya, suruhanjaya sedemikian mestilah diberikan kuasa memberi nasihat kepada kerajaan bagi menghalang agensi pekerjaan tidak jujur menipu pekerja.