
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata tindakan menolak gesaan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali hanya mendatangkan suasana tidak sihat dalam negara dan menunjukkan mereka anti Melayu dan Bumiputera.
“Kita tidak pernah pun menghalang kerajaan untuk membantu golongan bukan Bumiputera seperti kaum India atau Cina.
“Kita tidak berpuas hati bila ada pihak yang menidakkannya. Adakah mereka mahu dilihat anti Bumiputera,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Azmin menggesa kerajaan pusat tidak lagi “apologetik” dalam melaksanakan janji melibatkan agenda Melayu dan bumiputera ekoran kekalahan Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil DUN Semenyih, baru-baru ini.
Menurut Azmin, kekalahan PH itu merupakan mesej jelas kepada kerajaan supaya segera bertindak menyelesaikan masalah dan kebajikan rakyat tanpa perlu menyalahkan mana-mana pihak.
Bagaimanapun, kenyataan beliau mendapat reaksi berbeza beberapa pihak termasuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang menyifatkan sebagai pandangan peribadi dan menegaskan PH tidak menggunakan agenda kaum sebaliknya akan terus membantu rakyat yang memerlukan.
Malah, Azmin juga dikecam Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai yang menegaskan, usaha menyaingi Umno dan PAS mendapatkan undi orang Melayu dengan melakukan agenda perkauman tidak ubah seperti Barisan Nasional serta akan menjadikan PH sebagai BN 2.0.
Mengulas lanjut, Yazid berkata beliau menyokong 100% kenyataan Azmin itu kerana percaya kebanyakan Melayu dan Bumiputera merasakan usaha kerajaan meningkatkan ekonomi mereka masih perlahan.
Beliau berkata kebanyakan mereka ini golongan berpendapatan rendah (B40) dan merasakan kos sara hidup menekan mereka.
“Jadi mungkin kekalahan PH dalam 2 PRK baru-baru ini disebabkan mereka rasa tidak berpuas hati dengan usaha dilakukan kerajaan,” katanya.
Beliau juga berkata cadangan Azmin itu tidak dilihat sebagai diskriminasi kaum lain.
Beliau berkata, ini kerana Melayu dan Bumiputera berhak dibantu dan golongan ini juga tidak ada mengambil hak orang lain.
“Kalau ada, mana-mana pihak boleh buktikan. Kita tak pernah halang selain Bumiputera untuk meniaga atau sebagainya.
“Kalau lihat 8/10 jutawan bukan orang kita (Bumiputera).”