
Menterinya, Yusof Yacob berkata menerusi skim itu, pelajar terpilih tanpa mengambil kira kelulusan akan dihantar menjalani kursus dan latihan di institusi kemahiran yang layak mereka sertai.
Katanya, skim ini akan dimulakan tahun ini sebagai usaha kerajaan Sabah membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
“Ini merupakan peranan di bawah kementerian saya untuk mempercepatkan proses mengeluarkan rakyat miskin tegar di negeri ini menerusi pelajaran,” katanya,
Beliau ditemui pemberita selepas program Titian Kasih dan penyerahan sumbangan Mara dan Yayasan Pelajaran Mara kepada murid Sekolah Kebangsaan Karakit, Pulau Banggi, dekat sini, hari ini.
Hadir sama, pembantu menteri pelajaran dan inovasi Sabah yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Banggi (Adun) Mohammad Mohamarin; ketua pegawai eksekutif YPM, Zakariah Mat Sam dan pengarah Mara Sabah, Suhaimi Zainuddin.
Yusof, yang juga Adun Sindumin berkata, di bawah skim itu, kementeriannya memperuntukkan RM5 juta dengan sasaran 200 pelajar setiap tahun.
Katanya, kementerianjuga mengenal pasti beberapa institusi kemahiran yang sesuai di negara ini untuk menghantar pelajar terpilih di bawah skim itu.
Kementerian itu juga membantu pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia duntuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran.
Biasiswa tersebut yang ditawarkan Mara, Yayasan Sabah dan Petronas bagi memberi peluang pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran dengan sasaran di 20 universiti terbaik di dunia.
Mengenai pencapaian keputusan SPM negeri ini, beliau berkata, ada peningkatan 0.08%, tetapi dari segi pencapaian keseluruhan masih ada ruang untuk diperbaiki.
Menurutnya kementeriannya sedar isu setempat membabitkan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran memberikan impak terhadap keputusan peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan menengah di negeri ini.