
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia membabitkan 304 kes di pusat rawatan milik kerajaan, serta 91 kes di klinik dan fasiliti kesihatan awam dan swasta lain.
“Secara keseluruhan jumlah pesakit yang dirawat akibat kesan keracunan pencemaran bahan kimia itu menurun.
“Terkini, di Hospital Sultanah Aminah ada 14 pesakit, dan 32 pesakit lagi di Hospital Sultan Ismail, menjadikan jumlah keseluruhan 46 pesakit yang dirawat di hospital kerajaan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Dzulkefly berkata hanya 2 pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan mereka dalam keadaan stabil.
Kes-kes baru itu, katanya, tidak ada kaitan dengan penemuan beberapa tong biru, dipercayai mengandungi bahan kimia, di Sungai Masai dan Sungai Sembilang baru-baru ini.
Mengenai kejayaan membersihkan seluruh kawasan Sungai Kim Kim seluas 1.5 kilometer yang tercemar bahan kimia, Dzulkefly berkata, ia melegakan semua pihak berkaitan kerana tiada lagi bahaya toksik.
“Kita harap dan berdoa supaya kita sudah menyaksikan pengakhiran kepada episod keracunan ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly terharu dengan sokongan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar 119,932 petisyen menyokong usaha kerajaan mewajibkan vaksin kepada kanak-kanak untuk Program Imunisasi Kebangsaan.
Sokongan itu diketuai Medical Mythbusters Malaysia (M3) dan petisyen daripada 15 pertubuhan tersebut diserahkan kepadanya semalam.
Dzulkefly berkata ramai hantar petisyen menyokong usaha Kementerian Kesihatan mewajibkan imunisasi dan vaksin ke atas kanak-kanak.
“Kita beri satu tempoh masa pada jawatankuasa pasukan khas dan akan adakan sesi dialog.
“Kita mahu lakukan dengan teliti dan ambil kira semua baik buruk dan akhirnya bagaimana kita lakukan,” katanya.