Khairy tak mahu penswastaan Malaysia Airlines era Tajudin Ramli berulang

Khairy tak mahu penswastaan Malaysia Airlines era Tajudin Ramli berulang

Syarat penswastaan perlu jelas kerana tidak mahu kerajaan pula yang menyuntik dana kepada Malaysia Airlines akhirnya.

KUALA LUMPUR: Sebarang model penswastaan yang akan digunakan terhadap syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines haruslah berbeza dengan langkah penswastan pada 1990-an, gesa Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, syarat penswastaan syarikat penerbangan itu perlu jelas kerana tidak mahu kerajaan pula yang menyuntik dana kepada Malaysia Airlines akhirnya.

“Ia pernah berlaku sebelum ini, apabila (perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad menswastakan MAS kepada Tajudin Ramli dan kerajaan Persekutuan terpaksa membelinya semula.

“Sekiranya Putrajaya menswastakan Malaysia Airlines, terma dan syaratnya harus jelas. Supaya kerajaan tidak dilihat sebagai langkah terakhir untuk selamatkan syarikat berkenaan,” katanya sewaktu ditemui di Parlimen hari ini.

Semalam, Mahathir mendedahkan sudah ada pihak-pihak tertentu dari dalam dan luar negara yang menyatakan hasrat membeli Malaysia Airlines.

Beliau berkata, Malaysia Airlines menjadi penyumbang terbesar susut nilai Khazanah Nasional Berhad walaupun sudah melantik pengurus dari luar negara untuk kendalikan masalah syarikat.

Pada 5 Mac lalu, susut nilai Khazanah Nasional Berhad yang direkodkan pada tahun lalu berjumlah RM7.3 bilion, sebahagian besar disumbangkan Malaysia Airlines. Kadar susut nilai pada 2018 adalah 3 kali ganda berbanding RM2.3 bilion pada 2017.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan berkata, faktor utama prestasi kurang memberangsangkan itu adalah kos mengekalkan kelangsungan operasi Malaysia Airlines dan limpahannya kepada cukai daripada industri pelancongan, perniagaan dan aktiviti ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.