
Pemantau hak asasi manusia antarabangsa menuntut penjelasan mengenai tatacara yang digunakan dalam pengusiran orang-orang itu walaupun keselamatan mereka dibimbangi.
Human Rights Watch (HRW) berkata Mohamad Fathy Eid, Abdullah Mahmoud Hisham, Abdelrahman Abdelaziz Ahmed dan Azmy al-Sayed Mohamed, yang dipercayai ahli Ikhwanul Muslimun, berdepan risiko penyeksaan dan layanan buruk di Mesir.
Menurut HRW, seorang lagi rakyat Mesir hilang selepas dihantar pulang Turki.
“Malaysia dan Turki patut melaporkan secara terbuka tatacara yang diikuti dalam penghantaran pulang itu, termasuk sama ada mereka mengambil kira risiko layanan buruk apabila mereka kembali ke negara mereka dan sama ada mereka boleh berhubung dengan Agensi Pelarian PBB,” kata Timbalan Pengarah HRW di Timur Tengah dan Afrika utara, Michael Page.
Malaysia menghantar pulang 6 rakyat Mesir dan 1 rakyat Tunisia bulan lepas, tindakan yang mengundang kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan perdana menteri menanti, Anwar Ibrahim.
Menurut HRW, 2 daripada mereka adalah pelajar berusia 20-an.
Ketua Polis Negara, Fuzi Harun mempertahankan pengusiran itu, mengatakan mereka ancaman dan harus dihantar pulang tanpa tangguh.
“Kita mahu gagalkan rangkaian dan kegiatan mereka secepat mungkin. Ia ancaman serius,” katanya.
HRW mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Konvensyen PBB Terhadap Penyeksaan yang melarang penghantaran pulang secara paksa mana-mana orang ke negara yang mempunyai rekod menyeksa penentang.
Difahamkan mereka ditangkap pada Februari tanpa dimaklumkan kepada keluarga.
HRW memetik rakan-rakann mereka sebagai berkata polis Malaysia memaksa mereka menaiki penerbangan ke Kaherah melalui Bangkok, di mana pegawai Thai dan Mesir mengiringi mereka menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok.
“Pihak berkuasa Malaysia tidak berikan mereka akses kepada Agensi Pelarian PPB, merampas telefon mereka, dan tidak memberikan akses bermakna kepada peguam,” kata HRW, memetik rakan-rakan 4 orang itu.
“Pihak berkuasa Malaysia sepatutnya membawa mereka menghadap hakim dalam tempoh 48 jam dan menyediakan bantuan undanug-undang untuk mencabar penghantaran pulang itu,” katanya.