Kabinet putus dividen Tabung Haji esok, kata Dr M

Kabinet putus dividen Tabung Haji esok, kata Dr M

TH mengalami kerugian besar akibat pembelian pelbagai jenis harta pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran, kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kabinet akan membuat keputusan berkenaan kedudukan kewangan Tabung Haji (TH), termasuk dividen untuk 9.3 juta pencarumnya, esok, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini rakyat umumnya mengetahui bahawa pengurusan TH sebelum ini telah mencuri wang daripada agensi itu.

“Ini sudah tentu menjejaskan memberi pulangan kepada penyumbang TH,” katanya.

Oleh sebab itu katanya, Kabinet perlu mengkaji semula kedudukan kewangan TH dengan teliti.

“Kita akan umum (keputusan mesyuarat) dalam masa terdekat,” katanya.

Dr Mahathir ditanya oleh Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) bilakah TH akan mengumumkan hibah bagi tahun 2018 kepada 9.3 pencarumnya.

Noraini berkata, berdasarkan rekod 5 tahun lepas, TH mengumumkan kadar dividen pada awal Februari, tetapi kali ini belum ada kemas kini berhubung perkara itu hingga sekarang.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan memberi maklumat lanjut selepas mesyuarat Kabinet.

Hasanuddin Yunus (PH-Hulu Langat) berkata, menurut peraturan TH, syarat memberi dividen ialah apabila asetnya lebih tinggi daripada liabiliti dan kos operasi keseluruhan serta adanya keuntungan bagi tahun berkenaan.

“Ada pihak yang nafikan TH pernah rugi, tetapi kalau kita lakukan carian, TH Indo Park di Riau, Indonesia rugi RM408 juta yang sepatutnya boleh menampung 30 ribu lagi jemaah haji,” katanya

Dr Mahathir berkata, TH memang mengalami kerugian besar akibat pembelian pelbagai jenis harta pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran.

“Sebab itu kerajaan perlu meneliti semua ini dan bincang dalam Kabinet esok. Kita akan beri maklumat sepenuhnya tentang apa yang berlaku pada TH,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, hutang negara kini turun disebabkan kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Apabila (KDNK) naik, peratusan hutang turun. Itu adalah kenyataan,” katanya, dengan menambah bahawa hutang akan juga menurun apabila ia dibayar.

Dr Mahathir berkata, hutang negara kini di paras yang tidak memberi impak ke atas pembangunan negara.

Beliau menjawab soalan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang menyebut kementerian kewangan memaklumkan semalam bahawa hutang negara dulu adalah sebanyak RM686 bilion, tetapi kini naik kepada RM773 bilion.

D Mahathir berkata, berdasarkan kajian, hutang negara adalah melebihi RM1 trilion.

“Ini jumlah yang besar, tetapi sekarang KDNK negara sudah meningkat, jadi peratusan hutang menurun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.