‘SPRM dapati kontraktor terowong dasar laut tak babit salah laku’

‘SPRM dapati kontraktor terowong dasar laut tak babit salah laku’

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan 3 jalan utama itu akan diteruskan.

Chow Kon Yeow berkata, kes mahkamah yang masih berjalan tidak menyasarkan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dan Pengarah Eksekutif Kanannya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kerana rasuah.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan 3 jalan yang bernilai RM6.3 bilion akan diteruskan, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapati kontraktor projek itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Katanya, SPRM sudah menghantar 2 surat yang membersihkan nama Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dan Pengarah Eksekutif Kanannya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli daripada sebarang salah laku.

Beliau berkata, kes mahkamah yang masih berjalan tidak menyasarkan Zarul atau syarikat itu kerana rasuah, sebaliknya disebabkan seorang individu yang memperdaya Zarul untuk mendapatkan “sejumlah besar wang”.

Kes itu membabitkan ahli perniagaan, G Gnanaraja yang didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu Zarul sebanyak RM19 juta pada 2017, dengan memperdaya Zarul untuk percaya Gnanaraja boleh membantunya menutup siasatan pengubahan wang haram terhadapnya oleh SPRM.

“SPRM menghantar 2 surat menyatakan tiada tindakan diambil terhadap mereka, selepas mereka menjalankan siasatan.

“Dengan itu, persoalan itu tidak timbul,” katanya merujuk cadangan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) untuk menggantung projek pembinaan terowong dasar laut dan 3 jalan itu sementara menunggu siasatan SPRM.

“Ia adalah isu yang sudah ditutup, setahu kita,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Semalam, C4 menggesa Pulau Pinang menggantung projek itu susulan kebimbangan terhadap “kontroversi dan misteri” yang menyelubungi projek berkenaan.

Ia turut menggesa SPRM mempercepatkan siasatannya untuk menyingkap “semua kemungkinan salah laku” membabitkan projek itu dan kontraktornya.

Chow berkata, kes Zarul ialah kes “terpinggir dan tiada kaitan” dengan kerajaan Pulau Pinang dan ia tidak membabitkan cara tender kerajaan itu diberikan.

“Ia hanya seorang individu yang mengambil kesempatan daripada keadaan itu untuk mendapatkan sejumlah besar wang. Ia adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“Kami menghormati perjanjian kami untuk kerja diteruskan seperti ditetapkan kerajaan, khasnya bagi satu daripada 3 jalan itu.”

Tiga jalan utama itu membabitkan jalan dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sejauh 5.7km, Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km) dan persimpangan Jalan Pangkor-Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).

Kerja bagi jalan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu akan bermula 31 Ogos ini.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Jalan Pangkor di George Town dan Bagan Ajam di Butterworth.

Pembinaan itu dijadualkan bermula 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.