Kenderaan yang diselenggara dengan baik adalah antara jaminan pemanduan selamat.
Malah, kebanyakan negara juga menetapkan hukuman bahawa memandu kenderaan yang bermasalah adalah satu kesalahan besar.
Pemasangan peralatan keselamatan canggih seperti beg angin dan brek anti-kunci pula tidak sama sekali boleh dijadikan alasan untuk pemandu mengabaikan sikap berhemah dan beretika di jalan raya.
1. Bateri
Selalunya kuasa bateri akan cepat habis dalam cuaca sejuk atau lembap. Kenderaan mungkin tidak dapat dihidupkan sekiranya anda mengabaikan penjagaan bateri.
2. Cecair pembersih cermin depan
Cecair pembersih adalah lebih berkesan jika dibandingkan dengan air biasa untuk membersihkan cermin depan daripada debu, garam, minyak dan kotoran apabila memandu dalam cuaca buruk.
3. Tangki minyak setengah atau lebih
Memandu dengan tangki minyak yang penuh adalah lebih selamat jika ingin melakukan perjalanan jauh atau memandu di kawasan yang anda kurang pasti. Ia juga dapat menjimatkan masa jika anda sesat atau tidak dapat mencari stesen minyak.
4. Penyah kabus
Penting dalam cuaca sejuk yang boleh mengakibatkan bahagian dalam cermin berkabus. Alat penyah kabus membantu pemanduan yang selesa.
5. Lampu depan/belakang
Lampu yang terang dapat menjamin keselamatan terutama pada waktu malam. Ia membantu anda melihat jalan di depan dan pemandu lain melihat anda.
6. Kabel loncat
Amat mustahak sekiranya bateri anda mati. Ia membantu mengecas bateri dan menghidupkan kenderaan. Pasang kabel dengan tertib dan pada posisi yang betul untuk mengelak letupan atau kebakaran: sambungkan kabel merah dari terminal positif bateri yang tidak bercas ke terminal positif bateri yang bercas. Kabel hitam pula disambungkan dari terminal negatif bateri yang bercas ke terminal negative bateri yang tidak bercas.
7. Tayar
Pastikan angin tayar mencukupi. Tayar yang terlebih atau kurang angin akan mengurangkan kecekapan, kuasa cengkaman dan kestabilan kenderaan ketika bergerak. Tayar ganti juga mesti dalam keadaan baik.
8. Lampu isyarat dan brek
Lampu isyarat dan brek yang berfungsi dengan baik akan mengurangkan risiko kemalangan. Lampu isyarat membantu pemandu lain melihat arah pergerakan kenderaan anda. Lampu brek pula memberitahu pemandu lain bahawa anda sedang memperlahankan kenderaan. Justeru, ia memberi masa untuk kenderaan di belakang menjarakkan kenderaan mereka.
9. Anti beku/penyejuk
Bahan penyejuk yang tidak mencukupi boleh menyebabkan enjin terlampau panas dalam cuaca yang tidak menentu. Pastikan anda memeriksa radiator hanya apabila enjin kenderaan berada dalam keadaan sejuk. Tahap bahan penyejuk mesti antara paras minimum dan maksimum pada tangki simpanan.
10. Pengelap cermin
Periksa pengelap cermin anda 3 bulan sekali dan pastikan ia berfungsi dengan baik terutama pada waktu hujan lebat.
11. Lampu kecemasan
Hidupkan lampu kecemasan jika anda berhenti di lorong kecemasan. Ia adalah alat penting sekiranya berlaku kecemasan.
12. Telefon bimbit
Pastikan anda menyimpan senarai nombor kecemasan seperti polis, trak penunda, kelab motor dan sebagainya. Talian bebas tol 24 jam Spanco ialah 1-800-88-6999.
13. Brek anti kunci
Sistem Brek anti kunci (ABS) mengelakkan tayar daripada terkunci apabila membrek secara mengejut. ABS mengepam brek secara automatik sehingga 18 kali sesaat apabila pemberhentian kecemasan dilakukan. Apabila pemandu menekan pedal brek dengan kuat, sistem ini secara automatik menyelaraskan modul brek, atau memberi tindakan “mengepam” kepada setiap tayar untuk mengelak tayar terkunci. Ia membolehkan kenderaan diberhentikan dengan baik.
14. Lampu kabus
Posisinya yang lebih rendah daripada lampu depan menjadikan lampu kabus begitu penting untuk memberikan penglihatan jalan raya yang lebih baik. Jangan gunakan lampu cerah atau tinggi apabila melalui kawasan berkabus kerana kabus akan memantulkan cahaya, seterusnya menyilaukan penglihatan.
15. Kit kecemasan
Pastikan anda mempunyai satu kit kecemasan di dalam kenderaan seperti peralatan perubatan, lampu suluh, bateri, mancis, lilin dan sebagainya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]