Malaysia mahu hantar pekerja kolar biru ke Jepun

Jepun mahu mengambil lebih ramai pekerja asing untuk sektor seperti pembinaan dan perladangan menurut agensi berita Kyodo News. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Putrajaya dijangka menandatangani perjanjian dengan Tokyo yang akan menyaksikan pekerja kolar biru Malaysia dihantar bekerja dalam bidang tertentu di Jepun di bawah satu program visa yang dilancarkan bulan lepas.

Kyodo News melaporkan bahawa 2 negara itu bakal menandatangani satu memorandum kerjasama (MoC) apabila Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran melawat Jepun Julai depan.

Agensi berita Jepun itu melaporkan bahawa memorandum tersebut akan menyediakan kerangka asas untuk perkongsian maklumat bagi pekerja dalam sektor seperti pembinaan, perladangan dan penjagaan kejururawatan, pada saat Jepun bercadang mengambil lebih ramai pekerja asing berikutan peningkatan jumlah penduduknya yang lanjut usia dan kadar kelahiran yang rendah.

“Kita sedang berbincang dengan kerajaan Jepun bagi merangka satu MoC untuk menghantar pekerja ke negara itu susulan pembukaan 14 sektor pekerjaan kepada orang asing,” Kyodo News memetik kenyataan seorang pegawai Malaysia.

“Kami berharap untuk menandatanganinya di Jepun pada Julai. Ia kini di peringkat akhir dan kita harap ia dapat dilakukan,” kata pegawai terbabit, dengan menambah bahawa skim tersebut berpotensi mencipta 50,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di Jepun.

Pegawai tersebut seterusnya berkata, kajian menunjukkan rakyat Malaysia bersedia meningkatkan tahap kemahiran mereka bagi menyertai mana-mana sektor dengan menyebut gaji permulaan yang tinggi merupakan daya penarik utama.

Jepun menandatangani MoC serupa dengan Filipina, Nepal, Mongolia, Kemboja dan Myanmar selepas program visa itu dilaksanakan pada 1 April.

Ia kini berunding dengan China, Indonesia, Thailand dan Vietnam. Malaysia akan menjadi negara ke-10 menawarkan pekerjanya kepada negara tersebut.