ATM tidak terima helikopter AS bernilai RM300 juta dibeli pada 2015

Helikopter MD530G yang gagal digunakan oleh ATM kerana ia tidak diterima walaupun selepas membayar ratusan juta ringgit melalui pihak ke-3. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Helikopter tentera bernilai lebih RM300 juta yang dibeli pada masa pentadbiran lepas sehingga kini belum dihantar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sumber yang rapat dengan penyiasatan ke atas dakwaan rasuah dan salah urus dalam pembelian aset pertahanan memberitahu FMT.

Difahamkan 6 buah helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan oleh MD Helicopters milik gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas dipesan oleh Kementerian Pertahanan (Kementah) yang dipimpin oleh Hishammuddin Hussein ketika itu.

Helikopter berkenaan, yang lebih dikenali dengan panggilan “Little Birds”, dilaporkan menarik minat pegawai Kementah dalam satu demonstrasi sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) 2015.

Bagaimanapun penyiasatan ke atas urus niaga itu mendedahkan maklumat mengejutkan mengenai pembelian tersebut, selain hakikat bahawa ATM tidak menerima helikopter berkenaan.

“Didapati helikopter yang membuat demonstrasi pada Lima 2015 bukanlah MD530G, tetapi variannya, N369FF,” kata sumber kepada FMT.

FMT menghubungi Kementah untuk penjelasan lanjut, tetapi diberitahu bahawa penyiasatan masih berjalan.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan mendedahkan dapatannya mengenai perjanjian “tukar tanah” yang mencurigakan melibatkan tanah milik tentera.

Ia menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat keadaan yang didakwanya kemungkinan berlakunya salah urus yang menyebabkan kerugian sebanyak RM500 juta melibatkan 16 projek.

FMT difahamkan selepas Lima 2015, sebuah syarikat tempatan yang mempunyai hubungan kuat dengan seorang pegawai “kanan” Kementah (“Syarikat A”) yang dilantik sebagai ejen MD Helicopters di Malaysia membuat cadangan kepada Kementah untuk membeli 6 buah MD530G.

Cadangan itu kemudiannya dikemukakan kepada perdana menteri dan menteri kewangan, Najib Razak, untuk kelulusan.

Difahamkan Kementerian Kewangan memberi lampu hijau bagi perolehan tersebut daripada Syarikat A melalui rundingan terus.

Juga difahami, Unit Perancang Ekonomi mengecualikan perolehan itu daripada pemeriksaan Pengurusan Nilai.

Satu kontrak ditanda tangani pada November 2016 yang menetapkan bahawa helikopter terbabit akan dihantar dalam 2 kumpulan. Kumpulan ke-2 dijadualkan tiba tahun lepas.

Syarikat A telah dibayar 35% daripada nilai kontrak, berjumlah kira-kira RM113 juta.

“Isu utamanya ialah usaha wajar sebenar tidak dilakukan oleh kerajaan,” kata sumber, dengan menambah bahawa kelulusan diberikan hanya 4 bulan selepas cadangan tersebut dikemukakan.

“Proses pembuatan keputusan berkaitan aset penting tentera akan mengambil masa bagi membolehkan kajian pasaran, usaha wajar dan pemeriksaan pengurusan nilai dibuat.”

Katanya tanpa usaha wajar, Kementah tidak menyedari ketika perjanjian itu dibuat dengan Syarikat A, bahawa kedudukannya sebagai ejen tempatan bagi MD Helicopters telah dibatalkan kerana kegagalan memenuhi obligasi kewangannya.

“Ini sangat tidak bertanggungjawab kerana ia mendedahkan kerajaan kepada risiko kerugian kewangan dan kegagalan mendapatkan helikopter tersebut.

Selain itu wujud juga kebimbangan dalam kalangan pegawai tertinggi tentera udara Malaysia (TUDM) mengenai kemampuan MD530G.

“Satu masalah ialah ia tidak mempunyai rekod pertempuran yang terbukti,” seorang pesara tentera udara memberitahu FMT.

Kontrak itu juga “kabur dan kekurangan perincian penting”, termasuk isu spesifikasi ketenteraan dan sijil kelayakan udara (CoA).

CoA diperlukan bagi membolehkan helikopter terbabit beroperasi.

Dalam pada itu , wujud satu masalah lain mengenai urus niaga berkenaan.

Pada 2015, Syarikat A menghantar cadangan bernilai AS$60 juta kepada Hishammuddin.

“3 bulan kemudian, ia menghantar satu cadangan lain bernilai lebih AS$70 juta,” kata sumber kepada FMT.

Pemeriksaan berasingan ke atas Syarikat A mendapati kedudukan kewangannya lemah sebelum perjanjian itu ditanda tangani, selepas ia mengalami kerugian pada 2015 dan 2016.

Urus niaga itu juga dipercayai merupakan kontraknya yang pertama, dan ia tidak mempunyai pengalaman dalam melaksanakan kontrak bernilai ratusan juta ringgit.

“Ia hanya memiliki komputer, perabut dan peralatan pejabat bernilai kurang daripada RM50,000. Mindef sepatutnya berurusan langsung dengan MD Helicopters dan selamatkan puluhan juta duit pembayar cukai”

FMT cuba mendapatkan respons Hishammuddin.