Matrikulasi: Perlu kritikan membina, bukan ‘tembak-menembak’, kata Syed Saddiq

Matrikulasi: Perlu kritikan membina, bukan ‘tembak-menembak’, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq mengingatkan keputusan berkenaan kuota matrikulasi diputuskan secara konsensus dalam jemaah menteri.

ALOR SETAR: Kritikan membina sememangnya diperlukan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan sikap gemar “tembak menembak” dalam kalangan pemimpin parti sudah tidak patut berlaku kerana gabungan itu kini dalam kerajaan dan bukan lagi pembangkang.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata isu berhubung kuota matrikulasi misalnya sudah diputuskan jemaah menteri dan perkara berkaitannya hanya boleh dibincangkan dalam jemaah menteri.

“Isu ini sudah dimuktamadkan melalui keputusan konsensus dalam jemaah menteri dan ini merupakan keputusan bersama dan kalau Pemuda DAP tidak setuju, mereka boleh tanya menteri mereka dalam jemaah menteri.

“Perkara seperti ini harus dibincang dalam jemaah menteri sebab kita sekarang dalam kerajaan, bukan lagi pembangkang… tembak menembak ini sudah tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas program konsultasi dan majlis berbuka puasa bersama belia di Kubang Rotan hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA mengecam Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berhubung kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih Mandarin.

Syed Saddiq berkata apa yang penting setiap keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan semua pihak khususnya nasib anak-anak muda dalam golongan B40 terbela.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.