Suami isteri d‪itemui berpelukan bawah runtuhan binaan terminal bas Gombak

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan 2 mayat daripada bawah runtuhan terminal bas Gombak.

GOMBAK: Selepas beberapa jam penggalian di bawah struktur bangunan yang runtuh bersebelahan Terminal LRT Gombak, pihak penyelamat berjaya menemui 2 mayat warga Indonesia yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu.

“Mereka ditemui berpelukan antara satu sama lain ketika saat akhir hidup mereka,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi.

Beliau berkata mayat pasangan suami isteri itu ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat yang bermula jam 9.30 pagi. Mangsa ditemui pada jam 2.30 petang.

“Salah seorang pekerja memberitahu kami mereka gagal mencari 2 rakan mereka. Kami kemudian memulakan pencarian lebih ramai mangsa di bawah runtuhan bangunan 8 tingkat itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Nordin berkata sebahagian bangunan itu runtuh dipercayai disebabkan kelemahan struktur pada tanjakan parkir ke tingkat yang lebih tinggi.

Ketua Polis Gombak Samsor Maarof berkata pihaknya memulakan siasatan berhubung runtuhan itu.

Heru Susiawan.

“Kami telah menutup tempat itu dan akan bercakap dengan kontraktor yang terlibat untuk melarang orang awam tidur di sana,” kata Samsor.

Salah seorang rakan pasangan itu, Heru Susiawan yang memberitahu polis mengenai kehilangan pasangan tersebut, berkata dia sempat menikmati kopi bersama pasangan itu malam tadi.

“Saya nampak suami dan isteri itu memasuki bangunan pada waktu malam. Apabila saya lihat bangunan itu runtuh, saya cuba hubungi telefon bimbit mereka tetapi tidak berangkat.

Katanya, mangsa lelaki dikenali sebagai Alias, 37, dan isterinya dikenali sebagai Ema, 40.

Sementara itu, pekerja asing di tapak pembinaan itu berkata ia adalah kejadian malang. Mereka berkata sesetengah pekerja memilih untuk tidur di dalam bangunan yang belum siap sepenuhnya itu.

Beberepa pekerja asing menyaksikan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.

Menurut jabatan bomba, 3 mangsa cedera dalam kejadian itu dan 2 daripadanya sudah pun dihantar ke Hospital Selayang (HS) untuk rawatan lanjut.

Mangsa ke-3 yang tangannya tersepit dalam serpihan bangunan berjaya diselamatkan pada jam 7.30 pagi.

Pasukan penyelamat terpaksa memotong tangan mangsa untuk mengeluarkannya daripada runtuhan.

Dia kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.