
Ia antara usikan kebanyakan individu di media sosial apabila merakam gambar berlatarbelakangkan jambatan angkat atau “drawbridge” pertama di Asia Tenggara yang dibina di Kuala Terengganu meskipun masih belum boleh dilalui dan hanya ditinjau dari jauh.
Tetapi keadaan itu akan berubah mulai Ahad ini sehingga 17 Jun apabila kerajaan negeri membukanya untuk percubaan.
Keterujaan melihat secara dekat pastinya bukan sahaja melibatkan masyarakat sekitar, tetapi juga mengundang kebanjiran pelancong sempena Aidilfitri dan cuti sekolah.
Sebagai bandar warisan pesisir air, kewujudan jambatan itu di Kuala Terengganu pastinya akan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, meskipun jambatan sepanjang 638 meter yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu dibuka untuk menguji prestasi sistem operasinya, sambutan orang ramai pasti luar biasa, apatah lagi ia sebelum ini telah menjadi tumpuan ramai.
Apabila dibuka sepenuhnya nanti, beliau menjangkakan kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat lebih 20% bagi tahun pertama dan mampu memberi manfaat kepada kawasan sekitar seperti Seberang Takir dan Gong Badak.
Beliau berharap rakyat Terengganu mengambil peluang daripada pertambahan kedatangan pelancong itu dengan menceburi bidang perniagaan dan penyediaan perkhidmatan bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Kami (Kerajaan negeri) sedang pertimbangkan untuk mewujudkan kawasan yang menarik seperti gerai yang bukan sahaja menceriakan kawasan pesisir pantai berdekatan, tetapi turut mempromosi produk tempatan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, di Wisma Darul Iman, di sini.
Idea pembinaan jambatan angkat yang mempunyai 2 menara setinggi 16 tingkat itu datangnya daripada jambatan angkat di kota raya London, iaitu London Tower Bridge.
Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan ke-4 yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding 3 ketika ini, iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.
Ahmad Samsuri berkata, jambatan angkat itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu, malah seluruh Malaysia.
Sementara itu ketua pegawai eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) Baidzawi Che Mat berkata, 80% daripada kira-kira 250 pekerja yang terlibat dalam projek pembinaan jambatan angkat merupakan pekerja tempatan.
“Mereka termasuk penyelia, pengurus pembinaan dan pekerja pembinaan,” katanya.
Projek ini menggunakan kepakaran dan kemahiran kontraktor tempatan dan luar negara, memandangkan terdapat bidang kepakaran dan bahan yang tidak terdapat di pasaran tempatan.
Jambatan angkat merupakan sebahagian daripada projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre, sebuah projek pembangunan bandar bersepadu yang menggabungkan ciri-ciri unik warisan Terengganu.
Ahmad Samsuri berkata, dengan adanya jambatan yang bakal menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara itu, rakyat perlu lebih kreatif dan inovatif dalam memajukan industri pelancongan negeri.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif perlu diambil termasuk menyediakan ruang kerja yang lebih baik bagi menarik golongan muda menceburi industri tradisional Terengganu.