SPRM ikrar sokongan pada Latheefa, orang luar ke-10 ketuai badan anti-rasuah

SPRM ikrar sokongan pada Latheefa, orang luar ke-10 ketuai badan anti-rasuah

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata hanya 3 daripada 13 ketua badan anti-rasuah negara daripada kalangan pimpinan badan itu.

Azam Baki.
PETALING JAYA:
Kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberikan sokongan penuh kepada ketua pesuruhjaya baru, Latheefa Beebi Koya, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki hari ini.

“Kami akan berikan semua sokongan kepadanya untuk beliau jalankan tugas dengan berkesan dan cekap,” katanya.

Azam berkata SPRM dipimpin oleh orang dari luar badan itu adalah perkara biasa.

Latheefa, seorang peguam, menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Beliau dilantik untuk tempoh kontrak selama 2 tahun, berkuatkuasa 1 Jun.

Azam berkata sejak Badan Pencegah Rasuah ditubuhkan pada 1967 dan kemudian SPRM pada 2009, 10 daripada 13 ketuanya, termasuk Latheefa, adalah orang dari luar badan itu.

Tiga pegawai SPRM yang pernah mengetuai badan itu adalah Ahmad Said, Abu Kassim Mohamed dan Shukri.

Seksyen 5 Akta SPRM menyatakan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri, melantik seorang ketua pesuruhjaya untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.