Polis nafi 2 Orang Asli mati kerana penyakit misteri

Polis berkata hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati kedua-dua Orang Asli itu meninggal dunia kerana batuk teruk dan bukan kerana sebarang sakit misteri.

GUA MUSANG: Polis menafikan 2 penduduk Orang Asli yang meninggal dunia di Kampung Kuala Koh, pada 29 Mei lepas dan semalam berpunca sakit misteri.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Taufik Maidin berkata kedua-dua mangsa, seorang lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dunia pada 29 Mei lepas dan gadis berusia 21 tahun itu yang meninggal dunia pukul 4 petang semalam di kampung tersebut adalah kerana jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan batuk teruk.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua mayat di Hospital Gua Musang mendapati kedua-duanya meninggal dunia kerana batuk teruk dan bukan kerana sebarang sakit misteri.

“Malah, siasatan yang dijalankan turut mendapati ramai lagi anggota masyarakat itu yang mengidap penyakit sama termasuk 31 orang yang sedang menerima rawatan ketika ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Taufik berkata 13 daripada mereka menerima rawatan di Hospital Gua Musang manakala 2 yang kritikal dihantar ke Hospital Kuala Krai dan selebihnya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Aring 1 dan Klinik Kesihatan Chiku 3 sebagai pesakit luar.

Beliau turut menafikan dakwaan penduduk Orang Asli di perkampungan itu yang menyatakan 13 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit tersebut memandangkan pihaknya hanya menerima laporan kematian 2 orang sahaja setakat ini.

Katanya pihaknya juga sentiasa memantau perkembangan penyakit itu dengan agensi berkaitan bagi memastikan mereka yang dijangkiti menerima rawatan segera.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid berkata pihaknya juga belum menerima laporan penuh berhubung dakwaan 13 kematian penduduk Orang Asli dalam tempoh sebulan lepas akibat jangkitan kuman.

Beliau berkata setakat ini pihaknya hanya menerima laporan 2 kematian sahaja namun menegaskan perkara itu sedang disiasat termasuk mendapatkan senarai nama lengkap mereka yang meninggal dunia.