Otai Reformasi gesa Putrajaya rehatkan Azmin, persoal ‘pembelaan’ Mahathir

Pengerusi Otai Reformasi Idris Ahmad (duduk, tengah) pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA: Otai Reformasi hari ini menggesa Putrajaya merehatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali daripada tugas kerajaan susulan kontroversi klip video seks sejenis.

Kumpulan penyokong tegar reformasi itu juga mempersoalkan, apa yang disifatkannya sebagai “kesungguhan” Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Azmin sebagai mangsa politik kotor.

Pengerusi Otai Reformasi, Idris Ahmad berkata, Azmin perlu direhatkan daripada tugas rasmi buat sementara bagi membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

“Otai menyarankan Azmin diberi rehat daripada tugas rasmi. Ini bertujuan menjaga nama baik kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya,” katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya.

Idris berkata, pihaknya juga mencurigai dengan “campur tangan” perdana menteri, yang menurutnya, bertindak mempertahankan Azmin.

“Mahathir mengatakan video tersebut ‘dipalsukan’ dengan menggunakan teknologi canggih sedangkan kita meragui kepakaran beliau dalam teknologi video, manakala pelaku dalam rakaman video itu membuat akuan pendedahan bahawa mereka berdua terlibat dalam aksi seks tersebut.

“Tindakan Mahathir amat berbeza pada 1998 apabila Anwar Ibrahim dipecat dan dihukum sebelum siasatan polis dibuat dan mahkamah menjatuhkan hukuman.

“Tetapi pada tahun 2019 kenyataan Mahathir amat berbeza dan berlainan sungguh. Otai berharap Mahathir tidak bersikap ‘double standard’ dan berat sebelah dalam mengadili isu video tersebut,” katanya.

Pada Rabu lepas, setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin, Haziq Aziz mendakwa beliau adalah individu yang mengadakan hubungan seks sejenis dengan Azmin selepas klip video memaparkan 2 lelaki melakukan seks luar tabii di laman sosial.

Azmin menolak dakwaan beliau terbabit dalam video seks itu dan membuat laporan bagi membolehkan polis dan Jabatan Agama Islam menyiasat dakwaan Haziq.

Beliau menyifatkan Haziq sebagai individu yang dimanipulasi oleh pihak tertentu dan mengarahkan peguamnya untuk turut mengambil tindakan terhadapnya.

Hari ini, Idris turut mengecam tindakan Kementerian Industri Utama menggantung tugas Haziq sejak semalam dan memberi 3 hari kepada ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong itu untuk menjawab surat tunjuk sebab.

Beliau menyifatkan tindakan itu amat tidak wajar memandangkan hanya Haziq dikenakan tindakan, tetapi tiada apa yang berlaku kepada Azmin.

“Kita kena berlaku adil kepada setiap pekerja. Kalau kita sudah tahu salah laku pekerja, kita buat siasatan dahulu. Kita beri peluang tertuduh untuk buat pembelaan.

“Kita akan minta dia bercuti. Kalau (dirasakan) salah terus ambil tindakan, pekerja boleh ambil tindakan di Mahkamah Perusahaan.”