Datuk bandar PJ arah siasat dakwaan pegawai minta rasuah

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Sayuthi Bakar. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Sayuthi Bakar mengarahkan siasatan dalaman dijalankan ke atas dakwaan seorang Adun mengenai penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meminta suapan.

Ahli MBPJ, Derek Fernandez ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau memaklumkan datuk bandar pada minggu lalu mengenai sebuah klip video didakwa menunjukkan seorang pegawai MBPJ menerima suapan daripada seorang peniaga.

“Saya difahamkan satu laporan SPRM dibuat hari ini oleh beberapa orang,” katanya merujuk laporan Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Beliau (datuk bandar) sudah memulakan siasatan dalam jabatan berkaitan,” katanya kepada FMT hari ini.

Katanya, ia tambahan kepada sebarang siasatan lain oleh pihak penguatkuasaan undang-undang dan semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, serta ia perlu mengikut proses sepatutnya untuk memberi tertuduh hak mempertahankan diri.

Terdahulu, Liu mendakwa pihak berkuasa tempatan itu memeras ugut pemilik kedai di sebuah pusat beli-belah terkenal untuk memberi rasuah berhubung sepanduk haram.

Katanya, beberapa pegawai dari MBPK mengugut seorang peniaga makanan di pusat beli-belah itu, selepas beliau didakwa meletakkan sepanduk tanpa kelulusan.

Beliau berkata, pemilik menaikkan sepanduk promosi Hari Raya dan tiada masa untuk memohon permit.

Katanya, penguatkuasa memberitahu peniaga yang mereka boleh membayar beratus ringgit untuk mengelakkan didenda RM1,000.

Peniaga itu kemudiannya membayar rasuah itu dan insiden itu dirakamkan kamera dan tersebar di media sosial.

Liu, bekas exco Selangor bertanggungjawab ke atas kerajaan tempatan berkata, 4 pemilik kedai di pusat beli-belah sama didatangi pegawai MBPJ dan ada yang membayar rasuah itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata penguatkuasa MBPJ terbabit sudah diarahkan berhenti bertugas di lapangan dan PBT itu turut diarahkan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

Katanya, tiada tempat untuk rasuah dalam era Malaysia Baru dan orang ramai dinasihat melaporkan segera sebarang kelakuan itu.

“Kerajaan negeri Selangor tidak berkompromi terhadap sebarang kelakuan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di pentadbiran negeri ini. Penerima dan pemberi suapan adalah salah sama sekali.”