Johor cadang bina laluan khas pejalan kaki di Tambak Johor

Johor cadang bina laluan khas pejalan kaki di Tambak Johor

Exco Johor, Mohd Solihan Badri berkata dianggarkan 60% daripada 215,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor (bagi laluan sehala) sehari pada 2018 ialah pejalan kaki.

Kerajaan Johor bercadang membina laluan dua hala pejalan kaki berbumbung sejauh 1.2km di atas laluan motosikal sedia ada untuk menyeberang Tambak Johor ke Woodlands di Singapura. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan negeri bercadang mewujudkan laluan khas pejalan kaki untuk menyeberang Tambak Johor ke Woodlands di Singapura dalam usaha mengatasi kesesakan teruk di sempadan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata kerajaan negeri melihat ada keperluan mewujudkan laluan itu kerana ada sebilangan besar orang mengambil risiko berjalan kaki terutamanya di waktu kemuncak untuk mengelakkan kesesakan.

“Ini adalah di peringkat cadangan. Dengan adanya laluan ini, ia akan dapat menyelesaikan isu keselamatan.

“Kita dapati ramai penumpang bas menggunakan laluan kenderaan secara haram (dengan berjalan kaki) untuk mengelakkan kesesakan dan menyambung perjalanan mereka dengan menaiki bas apabila sampai Singapura,” katanya selepas melawat laluan cadangan pejalan kaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, petang tadi.

Katanya, dianggarkan 215,000 pengguna menggunakan Tambak Johor (bagi laluan sehala) sehari pada 2018 dengan 60% terdiri daripada pejalan kaki.

“Pihak konsultan akan menyediakan kertas cadangan terperinci untuk kerajaan negeri yang dijangka siap dalam masa 3 minggu.

“Kemudian barulah kerajaan negeri akan pertimbangkan sama ada ia boleh dilaksanakan dengan kajian kemungkinan, melibatkan agensi berkaitan.”

Solihan yang juga Adun Tenang berkata, laluan dua hala pejalan kaki berbumbung sejauh 1.2km itu dicadangkan dibina di atas laluan motosikal sedia ada.

Laluan itu dijangka menelan kos kira-kira RM15 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.