Kit Siang, Hadi gesa siasatan kematian Morsi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan veteran DAP, Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Dua ahli politik saingan sependapat hari ini dalam mempersoalkan pihak berkuasa Mesir berhubung kematian bekas presiden negara itu yang dipilih secara demokratik, Mohamad Morsi.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan veteran DAP Lim Kit Siang berkata perlu ada siasatan yang adil terhadap kematian Morsi, selepas laporan mengatakan beliau tidak menerima rawatan perubatan asas yang diperlukan di penjara.

“Kami menggesa pihak berkuasa di Mesir dan agensi antarabangsa untuk melakukan siasatan bebas dan menyeluruh terhadap punca kematian Morsi, termasuk penjagaan beliau ketika di bawah pengasingan bersendirian selama ini,” kata Hadi dalam mesej ucapan takziah terhadap kematian Morsi.

Lim memetik laporan Amnesty International dan Human Rights Watch mengenai kesihatan bekas pemimpin yang semakin merosot dan penafian mendapatkan rawatan oleh junta ketenteraan Mesir.

“Masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan terhadap kerajaan Mesir yang bertanggungjawab terhadap kematian Morsi jika siasatan antarabangsa yang adil, teliti dan telus mengesahkan kematian itu adalah akibat kegagalan pihak berkuasa menyediakan penjagaan perubatan yang diperlukan untuk Morsi,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.

Parti Kebebasan dan Keadilan yang diketuai Morsi sebelum ini menuduh pihak berkuasa Mesir “sengaja membunuhnya secara perlahan”.

Mereka “meletakkannya di dalam pengasingan bersendirian … mereka menahan ubat dan memberinya makanan menjijikkan … mereka tidak memberikan hak asasi manusia yang paling asas,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Reuters.

Morsi berkuasa selepas partinya, yang bersekutu dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang dilarang Mesir, memenangi pilihan raya dan pilihan raya presiden yang berikutnya, selepas penggulingan Presiden Hosni Mubarak.

Morsi digulingkan pada 2013 oleh bekas menteri pertahanan dan Presiden sekarang Abdel Fattah al-Sisi, yang melancarkan serangan terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin.

Kumpulan hak asasi manusia berkata beribu-ribu orang dipenjarakan dengan ratusan yang lain berdepan hukuman mati selepas perbicaraan terus.