Soalan berkait peralihan kuasa sengaja cetus ketegangan, kata Anwar

Soalan berkait peralihan kuasa sengaja cetus ketegangan, kata Anwar

Segala isi persefahaman antara beliau dan perdana menteri itu akan diberitahu pada satu masa yang sesuai.

Anwar Ibrahim (tengah) bersalam dengan kanak-kanak pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Kompleks Sukan Pantai Eco Park, malam ini. Turut hadir Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (kanan).
KUALA LUMPUR:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim membidas pihak yang terus mempersoalkan rancangan peralihan kuasa untuk beliau menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Soalan seperti ini sengaja menimbulkan ketegangan,” katanya mengulas kenyataan Mahathir di Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok semalam.

Mahathir dilaporkan berkata, beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Anwar dan berusaha mengurangkan hutang negara sebelum melepaskan jawatannya.

Anwar berkata, sebagai perdana menteri, Mahathir perlu bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara.

“Tetapi, soal transisi dan perjanjian melepeskan jawatan itu sangat tegas. Tak payah diumum kepada semua,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini, malam ini.

“Saya berpuas hati dengan beberapa pertemuan saya dengan Mahathir dan benda ini selesai. Yang nak korek, ajak gaduh tu nak buat apa?

“Kamu tidak boleh anggap dan minta ‘sitting’ perdana menteri untuk beritahu pelbagai hal dalam soal peralihan kuasa. Memadai dia ulang kesefahaman yang dia bincang dengan saya setiap minggu.”

Di bawah perjanjian kepimpinan Pakatan Harapan, Anwar sepatutnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri dalam masa 2 tahun.

Bulan lalu, Mahathir memberi jaminan untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Anwar seperti dijanjikan, tetapi tiada masa diberikan untuk peralihan kuasa itu.

Mahathir sebelum ini berkata, beliau memerlukan 2 tahun setengah hingga 3 tahun untuk menyelesaikan masalah berkaitan kewangan negara yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Mengenai kritikan terhadap Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kerana duduk semeja dengan peguam negara dan ketua polis negara dalam sebuah majlis baru-baru ini, Anwar berkata, ia hanya kebetulan.

“Itu majlis rasmi dan saya tidak fikir itu masalah. Saya masih percaya kepada profesional dan integriti polis untuk buat siasatan tanpa dipengaruhi.”

Azmin terpalit kontroversi selepas beberapa klip video menunjukkan 2 lelaki mengadakan hubungan seks sejenis.

Pada 12 Jun lalu, Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku mengadakan hubungan seks sejenis dengan Azmin, tetapi menteri hal ehwal ekonomi menafikan sekeras-kerasnya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Susulan itu, polis menyiasat Haziq atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.

Sekolah vernakular

Mengenai desakan perwakilan Muslimat PAS untuk menghapuskan sistem pendidikan vernakular yang tidak menyumbang kepada perpaduan kaum, Anwar berkata, ia adalah pandangan tidak wajar.

“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan rasmi, tapi beberapa bahasa lain dikembangkan.

“Kalau Malaysia mahu maju, selain daripada bahasa rasmi yang diterima oleh semua tanpa tolak ansur, maka bahasa Inggeris, Cina dan lain itu penting dan beri manfaat kepada kita.”

Terdahulu, Salamiah Md Nor menerusi Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, hari ini berkata, bahasa Mandarin tidak patut menjadi bahasa kedua untuk rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.