Tak calar imej, kata Mat Sabu selepas anaknya didakwa ambil dadah

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yakin pendakwaan terhadap anak lelakinya berhubung penyalahgunaan dadah tidak akan mencalar imejnya sebagai menteri kanan.

Mohamad juga berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengadili anaknya dan menegaskan tidak akan mencampuri urusan berkenaan.

“Tidak ada masalah, biar mahkamah proses, tidak ada masalah apa-apa,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Kumpulan Maju 2019, semalam.

Mohamad berkata demikian ketiks diminta mengulas mengenai pendakwaan terhadap anaknya yang pada 13 Jun lalu ditahan selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12, sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

19 Jun lalu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Kamarulzaman Mamat berkata, Ahmad Saiful, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Lelaki berusia 31 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.

Jika disabitkan kesalahan, Ahmad Saiful boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara maksimum 2 tahun.