
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Othman bersama 7 pesuruhjaya baru selama 3 tahun itu berkuat kuasa 27 April lalu.
Lima bekas pesuruhjaya Suhakam, iaitu Mah Weng Kwai, Godfrey Gregory Joitol, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Jerald Joseph dan Lok Yim Pheng dilantik semula.
Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Hishamudin Yunus dan pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Madeline Berma bersama Othman pula kali pertama dilantik menganggotai Suhakam.
“Pelantikan ini menurut subseksyen 5(2) Akta Suhakam 1999 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.”
Pengumuman itu dibuat 2 hari selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, satu senarai calon pesuruhjaya sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad seminggu lalu.
Suhakam beroperasi tanpa pesuruhjaya sejak Pengerusinya, Razali Ismail meletak jawatan pada 16 April lalu, hampir 2 minggu sebelum tempoh perkhidmatannya berakhir 27 April lalu.
Tempoh perkhidmatan 7 lagi pesuruhjaya berakhir 25 April lalu.
Othman pernah berkhidmat lebih 3 dekad dengan Kementerian Luar sebelum bersara pada 30 Disember 2016.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 1979, selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya.
Beliau pernah dilantik sebagai duta Malaysia ke Republik Czech mulai 2002 hingga 2005, duta ke Amerika Syarikat pada 2012, wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dari 2009 hingga 2012 dan ketua setiausaha Kementerian Luar mulai 1 September 2013 hingga Disember 2016.