
“Berkenaan arahan kepada Abdul Muein itu, di pihak naib cancelor tidak ada sebarang arahan yang dikeluarkan kepada beliau dalam perkara ini,” kata Mohd Hamdi Abdul Shukor kepada FMT.
Terdahulu, Abdul Muein memberitahu beliau diarah tidak lagi menulis sebarang isu politik sensitif dan akur dengan arahan tersebut, walaupun terkilan kerana tidak lagi berpeluang menyumbang pandangan kritis kepada kerajaan PH.
“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui betapa barisan pentadbir UKM hari ini memberi kebebasan akademik kepada kami para pensyarah. Sebelum adanya campur tangan seorang penasihat perdana menteri tempoh hari,” katanya menerusi kiriman Facebook.
Abdul Muein melalui artikel bertajuk “Eksklusif: 400 hari PH jual lebih RM20 bilion aset negara” mengkritik tindakan kerajaan PH menjual aset negara lebih RM20 bilion.
Kadir yang juga penasihat perdana menteri bagaimanapun mendakwa Abdul Muein menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH.
Abdul Muein kemudiannya menerima ugutan daripada pihak tertentu susulan perbalahannya dengan Kadir di media sosial.