P Pinang tak perlu projek tambak laut, kata Nurul Izzah

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata Pulau Pinang tidak perlu mengikut jejak langkah negara lain dengan menjalankan projek penambakan laut seperti Hong Kong mahupun Dubai.

Beliau berkata aktiviti itu akhirnya membawa kepada kemusnahan atau kesusahan pada keseluruhannya.

“Saya masih tetap dengan pendirian saya bahawa pemberian pampasan pada nelayan yang terlibat dan pembinaan lebuhraya baru masih tidak mampu menyelesaikan kesesakan trafik di Pulau Pinang di samping kesan buruk pada alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mengharapkan kerjasama kerajaan pusat dan iltizam kerajaan negeri dalam menaik taraf pembangunan Pulau Pinang.

“Saya yakin masih tidak terlambat untuk kita menggantikan projek penambakan mega ini dengan inisiatif yang lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar meluluskan kajian alam sekitar yang membenarkan projek tambak laut 3 pulau di sepanjang pantai selatan pulau itu dengan 72 syarat.

Di bawah projek berkenaan, 3 pulau berukuran 4,500 ekar akan dibina dan dijual bagi membiayai projek pengangkutan di negeri itu bernilai RM46 bilion, termasuk satu laluan LRT yang diluluskan baru-baru ini.

Pada 18 Julai lalu, Persatuan Nelayan Pulau Pinang berkata, ia “sebulat suara” membantah projek tambak laut tersebut kerana ia berlawanan dengan dakwaan kerajaan negeri bahawa mereka bersetuju menerima projek berkenaan.

Terdahulu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, beliau menghormati bantahan nelayan terhadap projek tersebut, dan menambah mereka antara lain meminta diberikan bot, bukannya pampasan.

Chow berkata, permintaan itu merupakan pengesahan secara tidak langsung projek tambak laut itu tidak memberi kesan ke atas kehidupan mereka, seperti didakwa oleh kumpulan pendesak.

Pengerusi persatuan itu, Nazri Aziz bagaimanapun berkata, Chow tersalah tafsir isi perbincangan pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini, dengan menggambarkan nelayan hanya mahukan pampasan.