Sasaran 6 kerusi Amanah di P Pinang ‘tak realistik’, kata penganalisis

Sasaran 6 kerusi Amanah di P Pinang ‘tak realistik’, kata penganalisis

Prestasi suam-suam kuku pada PRN lepas, serta pakatan PH-BN mungkin jadi faktor jumlah kerusi Amanah boleh tandingi di negeri itu.

MOHAMMAD SABU
Amanah tetap sasaran menang 5 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU16, menurut Setiausaha Agung Faiz Fadzil.
GEORGE TOWN:
Penganalisis politik menyifatkan sasaran Amanah untuk menang lima kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen di Pulau Pinang pada PRU16 sebagai tidak realistik, mengambil kira rekod pilihan rayanya yang tidak memberangsangkan dan saingan sengit daripada parti lawan.

Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Amanah mungkin berkedudukan untuk menuntut lebih banyak kerusi, terutamanya yang kini disandang oleh Bersatu, sekiranya Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bergerak solo pada PRU16.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

“(Namun) jika Umno bekerjasama dengan PH, Umno berkemungkinan besar akan bertanding di kerusi Bersatu, langkah yang munasabah memandangkan pangkalan pengundi mereka bertindih.

“Justeru, agak sukar bagi Amanah untuk menambah bahagiannya daripada dua kerusi (sedia ada),” katanya kepada FMT.

Bulan lepas, Umno Pulau Pinang berikrar untuk bekerjasama rapat dengan rakan kongsinya dalam kerajaan perpaduan, PH, pada pilihan raya akan datang, memberi jaminan komitmen penuh kepada pakatan sedia ada.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mengumumkan sasaran PRU16 Amanah di Pulau Pinang pada Sabtu, menambah bahawa pengagihan kerusi akan dirundingkan dalam gabungan perpaduan dengan matlamat ‘menyapu bersih’ semua kerusi ditandingi.

Wong Chin Huat
Wong Chin Huat.

Pakar sains politik Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, Amanah mungkin tidak mencapai sasarannya jika PH bekerjasama dengan BN pada PRU16.

“Bagaimanapun, jika PH dan BN bertembung, maka PKR terpaksa menyerahkan beberapa kerusi kepada Amanah,” katanya.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, kegagalan Amanah menawan kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor pada PRU15, serta mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir pada PRN 2023, mencerminkan ketidakupayaannya meraih sokongan pada peringkat akar umbi Melayu.

Beliau juga berkata, Umno dan PKR masing-masing mengintai jumlah kerusi majoriti Melayu yang terhad di Pulau Pinang, lantas mewujudkan dilema buat Amanah.

“Jika Amanah tuntut terlalu banyak, ia boleh menjejaskan hubungan antara PH dan BN. Tetapi jika ia terlalu mengalah, ia akan kekal sebagai pemain kerdil,” katanya.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

“Amanah mungkin terpaksa kompromi, terutamanya di kerusi strategik yang dianggap Umno sebagai kawasan tradisinya, dan dengan PKR di kawasan yang dikuasai sentimen ‘reformasi’.”

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, Amanah masih boleh memilih kerusi marginal atau kerusi di ‘jalur Melayu separa bandar’ untuk menambah bahagian kerusinya.

Cabaran pikat pengundi Melayu

Kedua-dua Lau dan Awang Azman mempersoalkan sama ada Amanah mampu memenangi hati pengundi Melayu, terutamanya di kawasan nusa teras, dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN) sudah bertapak kukuh di sana.

PRN 2023 menyaksikan PN merampas 11 kerusi majoriti Melayu daripada Umno dan PH, dengan PAS menang tujuh kerusi dan Bersatu hanya empat.

Awang Azman berkata, pengundi Melayu di Pulau Pinang cenderung skeptikal terhadap parti yang dilabel terlalu ‘liberal bandar’ dan kurang tegas dalam isu berkaitan identiti. Tambahnya, PAS masih memiliki kelebihan dari segi konsistensi dan identiti agama yang jelas pada peringkat akar umbi.

Lau memberi amaran bahawa Amanah mungkin berdepan cabaran memikat pengundi bukan Melayu, terutamanya masyarakat Cina, yang semakin kecewa dengan kerajaan persekutuan dan PH.

“Nak kekalkan sokongan teras bukan Melayu pun bukan mudah, apatah lagi untuk perluaskan ke (kawasan) Melayu. Itu lagi sukar,” tambahnya.

Wong berkata, Amanah tidak mampu mengalihkan undi Melayu secara bersendirian dan perlu bergantung kepada kerajaan Madani serta pengaruh Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan peluangnya.

Bagaimanapun, Wong dan Awang Azman bersetuju bahawa meletakkan calon berkaliber yang dekat dengan penduduk setempat boleh meningkatkan prospek Amanah di Pulau Pinang pada PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.