Persatuan tokong nafi terlibat dalam ‘jamuan perpaduan’

Persatuan tokong nafi terlibat dalam ‘jamuan perpaduan’

Persatuan Thean Hock Keong menyatakan pihaknya serta sebuah persatuan kebudayaan dan seni di bawahnya tidak akan terlibat program Sabtu ini.

Dragon Temple Lane
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang sebelum ini melarang Thean Hock Keong daripada menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri atas alasan sambutan itu sebagai aktiviti keagamaan Islam.
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan tokong Cina menegaskan mereka tidak terlibat dalam penganjuran program ‘jamuan perpaduan’ Sabtu ini sebagai pengganti kepada rumah terbuka Aidilfitri yang dibatalkan sebelum ini susulan larangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

Persatuan Thean Hock Keong menjelaskan dakwaan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mohamad Abdul Hamid sebagai tidak tepat kerana Persatuan Kebudayaan dan Seni Zhao Zi Long Pulau Pinang yang berada di bawah naungan mereka tidak akan bersama-sama menganjurkan acara dijadualkan di Dewan Panorama Bagan Ajam, Butterworth.

Menurutnya, mereka telah menghantar surat rasmi kepada JHEAIPP pada 5 April lalu bagi memaklumkan bahawa mereka akan menghormati keputusan untuk membatalkan rumah terbuka tersebut.

“Bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai, persatuan Zhao Zi Long dan Thean Hock Keong ingin menegaskan kami tidak terlibat dalam program 11 April, jam 8 malam di Dewan Panorama,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Mohamad berkata Zhao Zi Long akan bersama penduduk Bagan Ajam menganjurkan jamuan perpaduan itu.

Sebelum ini, JHEAIPP melarang Thean Hock Keong daripada mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri atas alasan ia merupakan aktiviti keagamaan Islam.

Pengarahnya Marzuki Hassan dalam surat bertarikh 31 Mac menyatakan semua aktiviti berkaitan Islam, termasuk sambutan Aidilfitri, memerlukan kebenaran Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Bagaimanapun, dalam surat balas bertarikh 5 April, persatuan itu menjelaskan tujuan penganjuran rumah terbuka itu untuk ‘memupuk perpaduan, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan keharmonian dalam komuniti setempat’.

Thean Hock Keong turut merujuk kepada kenyataan Mufti Pulau Pinang, Sukki Othman, yang berpendapat penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh sebuah tokong Cina boleh enimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Sehubungan itu, kami bimbang jika Zhao Zi Long terlibat dalam penganjuran (jamuan perpaduan) ia boleh menimbulkan kekeliruan yang sama,” katanya.

Persatuan itu juga menjelaskan mengenai poster rasmi rumah terbuka yang telah dibatalkan, dengan menegaskannya dengan jelas menyatakan acara akan diadakan di hadapan tokong, bukannya dalam.

“Kami telah menjelaskan perkara ini dengan terang dan tepat. Oleh itu, kami tidak memahami mengapa timbalan ketua menteri menyatakan terdapat isu dengan poster tersebut.

“Thean Hock Keong sekali lagi berharap JHEAIPP dan timbalan ketua menteri menghentikan kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.

Persatuan itu turut menyatakan kekeliruan terhadap larangan itu, dengan memaklumkan sebuah persatuan Buddha di Johor sebelum ini berjaya menganjurkan acara serupa bulan lalu tanpa sebarang masalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.