
Amin mendakwa semua ketua bahagian itu sudah dihubungi dan tandatangan serta pengesahan mereka diperolehi berdasarkan perakuan ketua bahagian yang menandatangani resolusi Majlis Pemukiman Pimpinan PKR di Port Dickson pada 21 Julai lalu.
Katanya, beliau turut mendapat persetujuan ketua bahagian yang menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 28 Julai lalu yang memperakui resolusi di Port Dickson.
“Tujuan adakan sidang media hari ini berikutan ada dakwaan PKR sedang bergolak dan berpecah.
“Kita berada di sini bersama akar umbi parti untuk menunjukkan kesatuan dan perpaduan sokong Anwar dan sekiranya ada sedikit perbezaan pandangan, itu sebahagian daripada politik,” katanya pada sidang media khas bersama tidak lebih 40 ketua bahagian PKR dari seluruh negara.
Beberapa ketua negeri dan bahagian PKR mula menyuarakan sokongan mereka lebih seminggu lalu, selepas Anwar dilaporkan menggesa Timbalan Presidennya, Azmin Ali melepaskan jawatan sebagai menteri hal ehwal ekonomi, jika terbukti beliau terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar sejak awal bulan lalu.
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengaku terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dakwaan itu dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Hari ini, Amin turut mengedarkan senarai ketua bahagian yang menyokong Anwar kepada wartawan, iaitu 19 daripada 22 bahagian di Selangor, Perak (22 daripada 24 bahagian), Kuala Lumpur dan Putrajaya (11 daripada 12 bahagian), Pulau Pinang (12 daripada 13 bahagian), Kelantan (11 daripada 14 bahagian), Pahang (13 daripada 14 bahagian), Johor (24 daripada 25 bahagian), Sabah (22 daripada 26 bahagian) dan Sarawak 23 daripada 29 bahagian).
Semua 15 bahagian di Kedah, 3 di Perlis, 6 di Melaka serta masing-masing 8 di Terengganu dan Negeri Sembilan turut memberi sokongan penuh kepada Anwar.
Amin berkata, 90% ketua bahagian PKR di seluruh negara turut menyokong Anwar menjadi perdana menteri ke-8 seperti yang dipersetujui pimpinan Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.
“Kita tak bincang langsung pasal pemimpin lain kerana dalam perjanjian PH, spesifik selepas Dr Mahathir Mohamad, Anwar jadi perdana menteri dan tak timbul nama lain.”
Katanya, baki 10% ketua bahagian PKR tidak menyuarakan pendirian mereka kerana tidak dapat dihubungi dan sibuk.
“Kita cuba hubungi melalui telefon dan WhatsApp, tetapi ada yang sibuk seperti berada di luar negara dan tidak membalas.”
Katanya, mereka menyerahkan kepada parti untuk memutuskan tindakan ke atas Azmin kerana isu video seks sejenis yang menyasarkannya masih dalam siasatan polis.
“Terserah pada pihak bertanggungjawab.”