Wakil rakyat minta kerajaan jelaskan bayaran lewat bas sekolah Orang Asli

Wakil rakyat minta kerajaan jelaskan bayaran lewat bas sekolah Orang Asli

Ini satu sebab penyumbang keciciran anak-anak Orang Asli setiap tahun, kata Ramli Mohd Nor.

Ramli Mohd Nor.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor meminta kerajaan menjelaskan serta menyelesaikan kelewatan bayaran kepada pengusaha pengangkutan bas sekolah bagi masyarakat Orang Asli.

Beliau menerima aduan kelewatan itu menyebabkan pengusaha bas hendak memberhentikan perkhidmatan serta-merta kerana tidak mendapat bayaran untuk perkhidmatan itu.

“Mengapa perkara sebegini boleh terjadi?” katanya dalam kenyataan.

Ramli berkata kontraktor yang puratanya pengusaha Orang Asli tidak menerima bayaran sehingga 5 bulan.

“Menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menjalankan perkhidmatan kerana kekurangan modal untuk menampung kos kenderaan yang digunakan bagi menghantar pelajar-pelajar masyarakat Orang Asli ke sekolah,” katanya.

Ramli bimbang anak-anak Orang Asli di Cameron Highlands dan seluruh negara tidak ke sekolah sekiranya perkhidmatan bas sekolah dihentikan kerana Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perdana Menteri gagal membuat bayaran upah mengangkut.

“Perkara ini tidak pernah berlaku semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Ramli menambah ketua pengarah Jakoa patut menumpukan usaha dan daya untuk melaksanakan dasar-dasar memajukan Orang Asli, sebagai pentadbir dasar yang hendak dilaksanakan.

“Bukan seorang ahli politik yang bercakap bagi menentu agama apa yang sepatutnya Orang Asli anuti atau cara hidup yang wajib diikuti oleh masyarakat Orang Asli.

“Beliau kena peka beza antara seorang pentadbir dan seorang ahli politik, di mana beliau tidak boleh memakai kedua ‘topi’ politik dan pentadbir dalam masa yang sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.