Mahkamah buat keputusan bersejarah sokong pemimpin kesatuan sekerja dipecat MAS

Hakim Mahkamah Tinggi mengarahkan MAS membayar pampasan kepada Ismail Nasaruddin yang dipecat secara salah pada 2013. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan Malaysia Airline System Bhd (MAS) menyalahi undang-undang dengan memecat seorang pemimpin kesatuan sekerja kerana mengeluarkan kenyataan bagi menyuarakan aduan pekerja dan menggesa ketua pegawai eksekutifnya meletak jawatan.

Hakim Nordin Hassan berkata, tidak adil untuk MAS memecat Ismail Nasaruddin yang merupakan presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) kerana beliau menerima wawancara media ketika kesatuan sekerja itu mengadakan aktivitinya.

“Alasan sebenar MAS memecat Ismail ialah penyertaannya dalam aktiviti kesatuan sekerja yang dilarang undang-undang,” katanya yang membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ismail.

Hakim turut membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan dan mengarahkan pampasan diberikan kepada Ismail kerana dipecat secara salah.

Mahkamah Perusahaan akan menilai jumlah pampasan bagi menggantikan pengembalian jawatan kepada Ismail.

Pada 2013, Ismail membenarkan The Sun Daily mewawancaranya untuk menyuarakan kebimbangan pekerja atas dakwaan kerja berlebihan, gaji rendah, isu kesihatan dan keselamatan akibat pengaturan semula pesawatnya serta arahan penurunan berat badan.

MAS mendapati ia melanggar tanggungjawab Ismail dalam syarikat itu dan memecatnya.

Ismail kemudiannya ke Mahkamah Perusahaan untuk mendapatkan semula jawatannya, tetapi awal tahun ini, tribunal itu memihak kepada keputusan MAS atas pemecatan Ismail.

Peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili Ismail menyifatkan ia adalah kes bersejarah kerana Mahkamah Tinggi pertama kali memutuskan salah untuk syarikat memecat seorang pemimpin kesatuan sekerja kerana mengeluarkan kenyataan media ketika melakukan kerja kesatuan.

“Pemimpin kesatuan sekerja memainkan peranan penting dalam memperjuangkan keadaan kerja lebih baik bagi berjuta pekerja di Malaysia, yang sering mempertaruhkan kerja dan mata pencarian mereka.

“Amat gembira untuk tahu Mahkamah Tinggi memberikan sokongan kepada individu berani ini.”

Lim berharap keputusan ini akan memperkasakan pemimpin kesatuan sekerja untuk berani mempertahankan hak pekerja dan melindungi mereka daripada syarikat yang menyalahi undang-undang dengan bertekad mengawal aktiviti kesatuan.