
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, satu jawatankuasa dianggotai PBT, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian akan dibentuk bagi mencari jalan terbaik menangani masalah tersebut.
“Ia akan diketuai oleh Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru Teo Kok Seong,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Negeri hari ini.
Aminuddin berkata haiwan yang berkeliaran menimbulkan masalah terutama mengakibatkan banyak kemalangan maut di jalan raya sejak akhir-akhir ini.
Katanya, terbaru kemalangan maut membabitkan 2 penunggang motosikal dan lembu di Jempol dan Mantin baru-baru ini.
“Kemalangan maut ini menimbulkan kerungsingan apabila penternak tidak mengaku lembu atau kerbau yang terbabit dalam kemalangan itu milik mereka.
“Salah satu kaedah untuk mengawal lembu dan kerbau terbiar ini ialah dengan meletakkan tag di telinga haiwan berkenaan di mana tag tersebut tertera nama pemilik. Program percubaan ini dilaksanakan di Nilai baru-baru ini dan kita sedang lihat keberkesanannya,” katanya.
Aminuddin berkata kos yang ditanggung PBT untuk menangkap lembu dan kerbau terbiar adalah tinggi, dan PBT juga menghadapi masalah untuk menempatkan dan menjaga lembu-lembu dan kerbau-kerbau yang kena tangkap.