Pertubuhan Islam sokong tindakan terhadap pengikut Syiah

Pertubuhan Islam sokong tindakan terhadap pengikut Syiah

Ikram Selangor menyeru pihak berkuasa terus memantau dan bertindak tegas terhadap pihak yang cuba menyebarkan, mengamal dan mempromosi ajaran Syiah.

Norazmi Mat Noh, Yang Dipertua Ikram Selangor.
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Islam menyokong penuh tindakan keras terhadap pengikut Syiah susulan kritikan terhadap teks khutbah Jumaat terhadap mazhab itu yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pertubuhan Ikram Selangor berkata kritikan terhadap teks khutbah 6 September lepas, sempena sambutan Hari Karbala pada 10 Muharam, itu hanya propaganda segelintir pihak yang cuba mempertahan dan mempromosikan “kesesatan”.

“Apatah lagi ajaran Syiah telah difatwakan sesat dan menyeleweng bukan sahaja di Selangor bahkan di semua negeri,” kata Yang Dipertua Norazmi Mat Noh dalam kenyataan hari ini.

Mereka juga menyeru pihak berkuasa terus memantau dan bertindak tegas terhadap pihak yang cuba menyebarkan, mengamal dan mempromosi ajaran itu daripada berkembang.

FMT melaporkan masjid-masjid di Selangor diarah untuk menyampaikan khutbah yang dibidas pengkritik sebagai ucapan kebencian yang menyasarkan kumpulan agama minoriti.

Khutbah yang disediakan Jais menjelang peristiwa penting Syiah pada minggu depan, menyifatkan kepercayaan dan amalan Syiah sebagai sesat, jelek, karut dan meloyakan, dan menyeru orang ramai menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa serta melaporkan sesiapa saja yang mengikuti ajaran itu.

Syiah merupakan ajaran Islam kedua terbesar di dunia tetapi ajarannya dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa Malaysia, yang pernah menyerbu upacara agama tertutup pengikut ajaran itu.

Terbaru, sumber memaklumkan Jais menyerbu sebuah pusat kegiatan Syiah di Gombak malam tadi dan seramai 23 orang, termasuk 4 remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun ditahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.