
Bercakap pada sidang media di Johor Bahru, Tosrin berkata serbuan “Ops Hauzah” yang dijalankan 30 anggota penguat kuasa JAINJ yang dibantu 15 anggota polis itu mengikut tatacara operasi standard (SOP).
Beliau mengesahkan terhadap seramai 54 individu termasuk 4 kanak-kanak berada di premis semasa serbuan.
“Lapan adalah rakyat Singapura, seorang rakyat Indonesia dan seorang dari Yaman,” kata beliau dipetik Star Online.
Lapan daripada mereka dibawa pergi untuk siasatan lanjut, manakala selebihnya dibebaskan dan diberi notis untuk hadir ke sesi kaunseling.
Polis Johor pada Rabu mengesahkan menerima 3 laporan mendakwa anggota polis tidak mematuhi SOP dalam serbuan JAINJ di Taman Bukit Kempas itu.
Saksi-saksi memberitahu FMT mengenai layanan kasar yang didakwa dialami pengikut Syiah yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah acara tertutup sempena hari Asyura itu, termasuk dakwaan pistol diacu pada seorang warga Yaman.
Seorang saksi juga mendakwa polis sudah melangkaui bidang kuasa apabila mengambil bahagian dalam tangkapan, mengatakan tugas mereka hanyalah untuk menjaga keamanan.