Maszlee: Bahasa Melayu perlu kembali raih kepercayaan khalayak

Maszlee: Bahasa Melayu perlu kembali raih kepercayaan khalayak

Semua pihak perlu memainkan peranan bagi membudayakan, memartabatkan dan memasyarakatkan bahasa Melayu.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2019 di Universiti Pendidikan Sultan Idris malam tadi. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dan Exco Pendidikan Negeri Abdul Aziz Bari. (Gambar Bernama)
TANJUNG MALIM:
Bahasa Melayu perlu kembali dipercayai menjadi bahasa ilmu dan pengetahuan agar istilahnya kekal segar seiring kemunculan istilah dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi, politik, undang-undang, termasuk bidang digital dan teknologi.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata, semua pihak seperti badan dan agensi dari dalam dan luar negara perlu terus memainkan peranan bagi membudayakan, memartabatkan, memasyarakatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu.

“Sebar luaskanlah usaha yang mengangkat bahasa rasmi negara ini. Biar ia kembali lahar dan gempita,” katanya ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2019 di Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Abdul Aziz Bari.

Terdahulu, Mohammad Shatar dalam ucapannya berkata, bahasa Melayu wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara, tetapi juga di setiap pelosok dunia merangkumi Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Syarikat.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan dalam PABM iaitu kategori Alam Melayu, kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia dan kategori Antarabangsa.

Kategori Alam Melayu dimenangi Amirul Iqmal Razlan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), manakala juara kategori pelajar antarabangsa di Malaysia menjadi milik Moustapha Koutoub Sano yang merupakan penuntut UIAM dari Guinea, sementara Qurbanov Ozad Nurmuhammad Ugli dari Uzbekistan State University of World Languages, dinobatkan pemenang kategori antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.