
Kumpulan tersebut, menamakan diri mereka Gerakan Tuntut Malaysia, dihalang polis daripada memasuki kawasan Parlimen.
Mereka berhimpun di pintu gerbang Parlimen pada 2.30 petang tadi untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.
Terdahulu, kumpulan tersebut tidak berpuas hati kerana tiada respon daripada Anwar atau wakilnya, lalu cuba untuk melepasi halangan polis untuk memasuki Parlimen.
“Kita nak jumpa bakal perdana menteri, kami nak serah memorandum. Kita tak buat apa-apa, tolong tuan, ini suara rakyat,” rayu Presiden Gerakan Tuntut Malaysia Azlan Abu Bakar kepada polis.
Selepas tolak-menolak antara penunjuk perasaan dan polis, keadaan reda apabila seorang individu, yang hanya mahu dikenali sebagai Ezam, dikatakan wakil daripada pejabat Anwar, cuba berunding dengan penunjuk perasaan.
Azlan bertegas mahu Anwar keluar bertemu mereka di luar Parlimen, tetapi permintaan itu terpaksa ditolak kerana Anwar perlu berada di Dewan Rakyat untuk pembentangan Belanjawan 2020.
Polis berjaya mengawal keadaan dan penunjuk perasaan bersurai apabila hujan turun.
Sementara itu, terdapat sekumpulan siswa dari Fakulti Institut Antarabangsa Malaysia – Jepun (MJIIT) di Universiti Teknologi Mara berhimpun secara berasingan.
Kumpulan 50 siswa UTM-MJIIT Voices itu memegang kain rentang dan plakad menyuarakan fikiran mengenai belanjawan MJIIT.
Mereka berkata himpunan mereka hari ini bagi mendesak Menteri Pendidikan Maszlee Malik tidak melengahkan hasil rundingan antara UTM-MJIIT Voices dengan UTM.