
Difahamkan, Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim juga akan dipanggil untuk memberika keterangan dalam masa terdekat.
Graduan Kejuruteraan Awam, Wong Yan Ke diarah memberi keterangan berhubung tindakannya di Balai Polis Petaling.
Wong hadir diwakili wakil firma guaman, Asheeq Ali Sethi Alivi.
Dalam sidang media selepas sejam memberikan keterangan, Asheeq berkata anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu menghina seseorang dengan sengaja untuk ganggu ketenteraman awam.
Bagaimanapun, jelasnya, tindakan Wong tidak boleh diklasifikasikan dalam kanun tersebut kerana kritikan terhadap seseorang yang berpengaruh dan berjawatan bukan dikira sebagai menghina.
“Dia tidak membuat sebarang serangan peribadi. Dia hanya berdiri di sana dan meluahkan pendiriannya terhadap Kongres Maruah Melayu” katanya.
Sementara itu, Wong turut memaklumkan slip ijazahnya ditahan pihak universiti selepas kejadian itu. Dia menyedari perkara itu selepas pergi ke UM untuk menguruskan pengambilan slip berkenaan, awal hari ini.
Oleh itu, Asheeq menggesa UM segera menyerahkan segala dokumen yang dituntut anak guamnya kerana ia menyalahi undang-undang dan peruntukkan dalam Akta Univerisiti dan Kolej Universiti 1971.
Katanya, ijazah seseorang graduan hanya boleh ditahan mengikut dua keadaan, pertama, jika dia didapati bersalah di mahkamah atas kesalahan jenayah yang serius. Kedua, jika dia didapati cuba atau melakukan apa-apa skandal dalam memperoleh ijazah berkenaan.
“Tapi anak guam saya baru sahaja disiasat. Bukan dikenakan tindakan mahkamah.
“Walaupun satu hari nanti dia (Wong) didapati bersalah, pihak UM perlu beri justifikasi bahawa kesalahannya benar-benar buruk. Kemudiannya baru ditarik ijazahnya.
“Bukan main-main tarik,” katanya.
Terdahulu, tular video menunjukkan Wong menaikkan plakad berbunyi “Why VC must resign” (Mengapa naib canselor harus letak jawatan) di pentas konvokesyen sebagai tanda bantahan terhadap Abdul Rahim.
Wong mendakwa, pemimpin universiti itu menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu, dua minggu lalu.
Kongres anjuran UM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diadakan di Stadium Malawati itu turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.