Korea Selatan boikot produk Jepun, jualan kereta jatuh lebih 50%

Korea Selatan boikot produk Jepun, jualan kereta jatuh lebih 50%

Ia berlaku ketika pengguna memboikot produk Jepun sebagai tindak balas terhadap Tokyo mengetatkan kawalan eksport tiga material penting untuk menghasilkan cip memori dan panel paparan ke Korea Selatan.

Jualan kereta import dari Jepun menjunam 59.8% pada Sept berbanding tahun lalu selepas susut 56.9% pada bulan sebelumnya.
SEOUL:
Jualan kereta Jepun di Korea Selatan mencatat penurunan lebih separuh untuk bulan kedua berturut-turut pada Sept ekoran kempen pemulauan barangan Jepun.

Agensi berita Xinhua memetik laporan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga menyatakan, jualan kereta import dari Jepun menjunam sebanyak 59.8% pada Sept berbanding tahun lalu selepas susut 56.9% pada bulan sebelumnya.

Ia berlaku ketika pengguna memboikot produk Jepun sebagai tindak balas terhadap Tokyo mengetatkan kawalan eksport tiga material penting untuk menghasilkan cip memori dan panel paparan ke Korea Selatan – yang menjadi nadi eksport negara itu – pada Julai lalu.

Pada Ogos, Jepun menggugurkan Korea Selatan daripada senarai rakan niaga yang boleh dipercayai dan melucutkan beberapa keistimewaan eksport ke negara itu.

Sebagai tindak balas, Seoul menyingkirkan Tokyo daripada senarai rakan eksport yang boleh dipercayai.

Dalam pasaran domestik, jualan kenderaan Korea Selatan serta kereta yang diimport mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tahun lalu kepada 133,016 unit pada September.

Jualan model kereta tempatan menokok 1.0 peratus manakala jualan kereta import melonjak 22.4 peratus ekoran permintaan tinggi terhadap model mewah dari Jerman.

Eksport kereta turun 4.8% sejak tahun lalu kepada 171,425 unit pada bulan lalu, tetapi dalam perkiraan nilai, penghantaran kereta naik empat peratus kepada AS$3.08 bilion berikutan permintaan tinggi terhadap model SUV mewah dan kenderaan mesra alam.

Eksport alat ganti naik 2.1% kepada AS$1.79 bilion pada bulan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.