KL juara Program Pembangunan Bakat Badminton 2019

KL juara Program Pembangunan Bakat Badminton 2019

Wilayah Persekutuan Labuan dinobatkan selaku kontinjen terbaik manakala Sarawak pula diumumkan sebagai negeri terbaik.

Kesemua peserta dan pegawai kejohanan bergambar bersama pada majlis Penutupan Program Pembangunan Bakat Badminton Kategori Perseorangan di Arena Badminton, Ipoh semalam. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP) 2019 yang berlangsung di Arena Badminton Perak di sini semalam selepas memenangi empat pingat emas.

Dominasi pasukan Kuala Lumpur dilihat selepas menjuarai acara perseorangan perempuan 10 tahun, apabila Ong Xi Run menewaskan pemain Sarawak, Wendy Feebie Ricky 21-4, 21-13.

Kecemerlangan itu diteruskan rakan sepasukan, Chloe Lam Jing Yee yang memenangi acara perseorangan perempuan 11 tahun, selepas menundukkan Tan Xin Yu dari Selangor 21-15, 17-21, 21-19.

Dalam acara beregu perempuan 11 tahun pula, pasangan Lee Kay Xin/Teh Xin Ying berjaya menyingkirkan pasangan Sabah, Farizah Wirdani Fazil/Nurhayati Mohamed 21-10, 21-11.

Kuala Lumpur terus garang apabila menambah koleksi emas menerusi acara beregu campuran 12 tahun, apabila pasangan Low Hao Feng/Yap Jing Ning mengalahkan gandingan Sabah, Datu Anif Isaac Datu Asraf/Melody Chew Shi Qing 10-21, 21-15, 21-17.

Selain itu, Wilayah Persekutuan Labuan dinobatkan selaku kontinjen terbaik manakala Sarawak pula diumumkan sebagai negeri terbaik dalam penganjuran BTDP sejak mula diperkenalkan pada 2018. Sekolah Kebangsaan Rakyat, Alor Setar, Kedah pula telah dianugerahkan sebagai Pusat Latihan Terbaik.

BTDP dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Hadiah disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Ahmad Rafee Che Kassim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.