Disiplin Ronnie atau kami serang pemimpin DAP, kata Pemuda PPBM

Disiplin Ronnie atau kami serang pemimpin DAP, kata Pemuda PPBM

Pemuda PPBM beri tempoh seminggu kepada DAP untuk mendisiplinkan ahli jawatankuasa eksekutif pusat Ronnie Liu.

PETALING JAYA: Pemuda PPBM beri tempoh seminggu kepada DAP untuk mendisiplinkan jawatankuasa tertinggi pusat parti itu, Ronnie Liu dan jika tiada tindakan diambil, ia akan bebas menyerang semua pemimpinnya, susulan kenyataan mengatakan Pakatan Harapan tidak perlukan PPBM.

“Pemuda PPBM seluruh negara tidak akan teragak-agak untuk bertindak atas serangan biadap ini. Jika pimpinan DAP tidak lakukan apa-apa, Pemuda PPBM akan bebas menyerang pimpinan DAP, termasuk pimpinan tertinggi,” kata Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sayap parti Bumiputera itu menjawab laporan yang memetik Liu berkata DAP, PKR, Amanah, Warisan dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) mempunyai kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan tanpa PPBM, sekiranya gabungan itu berpecah kerana tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mendakwa Mahathir mahu meneruskan model Barisan Nasional iaitu sebuah parti berasaskan Melayu menguasai gabungan itu.

“Kenyataan Liu yang mengatakan PH tidak perlukan PPBM kenyataan yang biadap dan tidak menghormati keharmonian antara parti dalam PH.

“Pemuda PPBM seluruh Malaysia mendesak DAP untuk mendisiplinkan Liu atas kebiadapan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.