
Ahmad berkata, berdasarkan pemerhatiannya pengundi Cina mula kembali memberi sokongan kepada BN kerana pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menjejaskan perniagaan mereka.
“BN masuk PRK jika hanya kami fikir kami boleh menang. Macam di PRK Sandakan, kami tidak sertai kerana itu lain keadaannya, oleh itu apabila kami masuk, kami hendak menang.
“Pada saya sokongan masyarakat Cina bertambah kepada BN ketika ini, sebab peniaga mendakwa perniagaan mereka merosot dalam era pentadbiran PH,” katanya di Parlimen, hari ini.
Berdasarkan taburan pengundi di Tanjung Piai, bilangan pengundi Cina dianggarkan melebihi 40% daripada jumlah keseluruhan di Parlimen berkenaan.
Ahmad berkata, terdapat beberapa faktor pada PRU lalu yang menyebabkannya memperolehi kemenangan tipis. Menurutnya, ramai pengundi masyarakat Cina ketika itu tidak mengundinya.
“Ada sebab tertentu pada PRU14 lalu. Saya menerima dua pusat daerah mengundi dari Tanjung Piai yang mana 5,000 undi masyarakat Cina tidak berpihak kepada saya. Ini bahana persempadanan semula,” katanya.
Ahmad juga berkata, tindakan BN tidak mengumumkan calon pada majlis pelancaran jenteranya di Pontian semalam adalah sebahagian daripada strategi.
“Umum calon ini bila-bila masa pun boleh asalkan sebelum hari penamaan. Jadi tarikh itu terpulang kepada strategi BN untuk umum.
“Semalam, kalau kita lihat di latar belakang yang disediakan di majlis itu adalah pelancaran jentera PRK Tanjung Piai. Tidak ada sebut pun umum nama calon. Jadi itu strategi kami,” katanya.