
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Yui Keong berkata, Ombudsman Malaysia merupakan satu badan bebas yang mengamalkan keberkecualian dalam menyelesaikan kes aduan awam terhadap agensi kerajaan.
“Ombudsman merupakan platform untuk orang ramai menyalurkan aduan dan rungutan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata beliau, penubuhan Ombudsman Malaysia bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai dan mengatasi ‘trust deficit’ terhadap kewibawaan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Liew berkata, penubuhan Ombudsman Malaysia juga telah disyorkan oleh Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) tahun lalu dan disenaraikan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas dan Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019-2013.
Dua minggu lalu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed ketika ditemui FMT berkata, Ombudsman Malaysia, yang akan menggantikan Biro Pengaduan Awam (BPA), dijangka beroperasi suku pertama tahun depan sekiranya rang undang-undang berkaitan diluluskan Parlimen Dis ini.
Kata beliau, badan itu yang pembentukannya sedang diperhalusi dengan mengambil kira model beberapa negara, bertujuan meningkatkan integriti dan governans urusan penyelesaian aduan dalam perkhidmatan awam.
“Rang undang-undang mengenai pembentukan Ombudsman Malaysia kini di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara, dan akan dibawa kepada Kabinet dalam waktu terdekat untuk kelulusan, sebelum ke Parlimen.
“Saya yakin ia boleh dibawa ke Parlimen pada sesi yang berlangsung sekarang. Jika diluluskan, boleh beroperasi pada suku pertama tahun depan… saya yakin boleh. Ombudsman Malaysia akan menggantikan BPA,” kata beliau.
Ombudsman Malaysia akan berfungsi sebagai penyelesaian aduan tahap kedua. Pada masa sekarang wujud pertindihan dalam aspek penyelesaian di mana satu-satu aduan dikemukakan kepada pelbagai peringkat pada masa yang sama dan ia memakan masa yang lama dan kadangkala menjejaskan integriti dan keberkesanan tindakan penyelesaian.
Peranan Suruhanjaya Undang-undang
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai Suruhanjaya Undang-Undang Malaysia, Liew berkata, suruhanjaya tersebut akan mengkaji semula dan mengesyorkan pembaharuan undang-undang yang diperlukan kepada kerajaan.
“Ia adalah penting terutamanya dalam menunaikan Janji 27 Manifesto Buku Harapan, iaitu menghapuskan undang-undang yang zalim,” katanya.
Beliau berkata suruhanjaya itu akan berperanan memastikan pembaharuan undang-undang dilaksanakan secara holistik, efektif serta sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Suruhanjaya tersebut adalah bersifat bebas. Oleh itu, ia dapat membuka ruang penglibatan yang lebih luas kepada orang awam dan pihak yang berkepentingan dalam proses pembaharuan undang-undang melalui sesi libat urus awam.
“Selain itu, suruhanjaya tersebut dapat meningkatkan akauntabiliti menteri dan kementerian yang berkaitan dalam proses dan pelaksanaan pembaharuan undang-undang,” kata beliau.
Liew berkata, badan itu tidak akan mengambil alih tugas pembaharuan undang-undang daripada mana-mana kementerian/jabatan tetapi berperanan menambah baik dan menyokong usaha pembaharuan undang-undang oleh pelbagai pihak.
Kata beliau, selaras dengan konsep kerajaan terbuka, sesi libat urus bersama pemegang taruh akan diadakan untuk mendapat maklum balas semua lapisan masyarakat tentang penubuhan Suruhanjaya Undang-undang dan Ombudsman Malaysia.