
Oleh itu kata beliau, kerajaan tidak perlu mengambil langkah tambahan untuk mengharamkan penggunaan basikal seumpama itu di jalan-jalan raya.
“Basikal Lajak ni memang tiada brek, itu dah memang salah, sebarang kenderaan yang mempunyai masalah brek memang haram berada di atas jalan raya. Jadi tak perlu nak haram-haram lagi,” kata beliau, lapor Bernama.
Wan Azizah mengulas mengenai laporan media mengenai cadangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mengharamkan secara menyeluruh aktiviti basikal lajak yang menjadi trend remaja masa kini.
Basikal Lajak kembali menjadi tumpuan berikutan keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan seorang jurujual daripada pertuduhan menyebabkan kematian lapan kanak-kanak yang sedang berbasikal lajak pada 2017.
Beliau yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata ibu bapa seharusnya bertanggungjawab memantau keberadaan anak-anak agar tragedi seperti itu tidak berulang.
Pada 28 Okt lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal dalam kejadian 2017.
Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.
Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan berkenaan bersandarkan beberapa perkara, termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di
jalan itu pada pukul 3 pagi.
Selain itu katanya, keadaan bahaya itu sendiri dicipta oleh kumpulan basikal lajak tersebut.