
Presiden PKR itu berkata cadangan supaya agihan zakat diperluas kepada orang bukan Islam hanya pandangannya untuk menampakkan sesuatu pembaharuan dan tidak bermaksud ia perlu diberikan kepada semua bukan Islam.
“Saya terima baik, kalau tengok konteks, mana-mana memang ada komunikasi terus antara pihak istana dengan saya supaya perkara ini dijelaskan.
“Itu (zakat kepada bukan Islam) pandangan saya supaya benda ini dikaji, diteliti oleh mufti dan majlis agama, dan diputuskan, itu saja pandangan saya. Kalau diputuskan tak setuju, tak apa. Saya menganjurkan wacana yang segar mengenai tajuk ini kerana ada pandangan berbeza.
“Kalau keputusan sepertimana dibuat oleh Selangor, kita patuh kerana keputusan dalam bidang kuasa Majlis Agama dan sultan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.
Anwar turut menjelaskan cadanganya itu bagi menampakkan imej Islam lebih baik.
“Bahkan dalam ucapan, saya bagi contoh dalam satu kampung semua orang Islam ada satu rumah Hindu. Apakah kita boleh pertimbangkan untuk melunakkan keadaan, begitu konteks dia.
“Tapi saya terima baik, saya cuma nak dalam Islam ini biar kita ada ehsan, ruang untuk meneruskan wacana yang sihat dan segar,” katanya.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menegaskan kutipan zakat hanya boleh diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir, miskin dan mualaf dalam kalangan umat Islam.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani berkata, penegasan itu dibuat setelah menerima nasihat daripada mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya ia menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf mu’allafati qulubuhum.
Anwar sebelum ini mencadangkan institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam, semasa persidangan zakat anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan UiTM pada 30 Okt. Beliau juga berkata cadangan itu memerlukan fatwa dan perubahan dasar.