
Bagaimanapun, perdana menteri berkata, beliau tidak akan menyerahkan kuasa sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur pada November tahun depan, tetapi boleh berbuat demikian selepas itu.
“Saya berjanji menyerahkan kuasa dan saya akan kotakannya, tetapi saya rasa perubahan segera sebelum sidang APEC akan menimbulkan gangguan.
“Setakat yang saya tahu, saya berundur dan menyerahkan kuasa kepadanya. Jika rakyat tidak mahu dia, itu hal mereka, tetapi saya akan kotakan janji saya. Tidak kira apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan kotakan janji saya,” katanya ketika ditemubual Reuters.
Ditanya jika peralihan kuasa boleh berlaku pada Disember 2020, Mahathir berkata: “Kita tunggu dan lihat apabila tiba masanya.”
Anwar pernah menjadi timbalan perdana menteri ketika Mahathir mentadbir negara buat pertama kali, tetapi hubungan mereka bertukar dingin sebelum kedua-duanya berdamai semula untuk memenangi pilihan raya umum tahun lalu.
Anwar, 72, dipenjarakan 2 kali atas pertuduhan berasingan liwat dan rasuah, tetapi beliau mendakwa ia bermotifkan politik.
Minggu lalu, Anwar menolak dakwaan terbaru oleh seorang bekas pembantunya yang menuduh beliau cuba memaksanya mengadakan hubungan seks.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyifatkan ia adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya.
Mahathir dilantik sebagai perdana menteri buat kali ke-2, selepas memegang jawatan sama selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.
Anwar ialah timbalannya dari 1993 hingga 1998, sebelum beliau dipecat dan dipenjarakan pada tahun berikutnya.
Walaupun Mahathir berjanji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar ketika kempen pilihan raya umum tahun lalu, keraguan timbul apabila beliau kemudiannya berkata, beliau memerlukan lebih banyak masa untuk memulihkan ekonomi negara.