Henti berbalas kenyataan, rakyat sudah bosan, Anwar beritahu pimpinan PKR

Henti berbalas kenyataan, rakyat sudah bosan, Anwar beritahu pimpinan PKR

Terdahulu beberapa pemimpim PKR dilihat saling berbalas kenyataan berikutan perselisihan melibatkan timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali dengan Anwar.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, parti harus tegak atas asas dan usaha perjuangan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta membela nasib rakyat.
PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa semua pimpinan dan anggota parti menghentikan berbalas kenyataan berkait isu dalaman parti dengan serta merta.

Ini katanya kerana rakyat sudah berasa bosan dengan serang-menyerang yang merujuk kepada konflik dalaman parti itu.

“Parti harus tegak atas asas dan khittah (usaha) perjuangan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, membela nasib rakyat semua kaum, terutama yang miskin dan terpinggir dari arus pembangunan.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beberapa pemimpim parti dilihat saling berbalas kenyataan di tengah-tengah perselisihan melibatkan timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali dan Anwar.

Konflik semakin memuncak apabila Azmin dan sekutunya mengadakan majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang menyaksikan beliau dan naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin menyampaikan ucapan berapi-api menempelak beberapa individu dalam parti selepas selesainya kongres nasional parti itu di Melaka.

Ucapan Zuraida dibidas oleh ketua penerangan parti itu, Shamsul Iskandar Md Akin yang berkata, beliau bersikap melampau dan bongkak dengan “membongkar” beberapa perkara yang dikatakan merupakan perbualannya dengan Anwar.

Anwar berkata, segala bentuk bantahan dan pandangan perlu disalurkan melalui saluran yang tepat, khususnya kepada Lembaga Disiplin parti.

“Kita berkewajiban untuk meningkatkan usaha dan kerja untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.