Cubaan seludup 5 kontena air zam-zam tumpas

Cubaan seludup 5 kontena air zam-zam tumpas

Kastam Selangor menggagalkan cubaan menyeludup 112,560 liter air zam-zam dianggarkan bernilai RM2.53 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Abdul Latif Abdul Kadir. (Gambar Bernama)
PELABUHAN KLANG:
Cubaan 3 syarikat menyeludup masuk 112,560 liter air zam-zam dianggarkan bernilai RM2.53 juta menerusi 5 kontena digagalkan kastam Selangor dalam 2 pemeriksaan di Pelabuhan Barat baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam pemeriksaan pertama pada 7 Okt lepas, sebanyak 38,850 liter air zam-zam yang diisi dalam 3,885 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM874,125 ditemui disorok dalam 2 kontena yang diisytihar oleh pengimportnya sebagai barang makanan dari Timur Tengah.

Dalam pemeriksaan ke-2 pada 16 Dis lepas pula katanya, sebanyak 73,710 liter air zam-zam yang diisi dalam 7,371 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM1.65 juta ditemui dalam 3 kontena diisytihar oleh pengimportnya membawa barangan kelengkapan rumah.

“Air zam-zam merupakan barang yang dilarang untuk dieksport secara komersial oleh kerajaan Arab Saudi. Malah 3 syarikat terlibat dalam kes ini pula tidak mempunyai permit membawa masuk air zam-zam daripada jabatan kesihatan.

“Sekarang ini, kita lihat air zam-zam banyak dijual dalam pasaran namun tidak dapat dipastikan ketulenannya. Jadi, kes seperti ini harus diketengahkan supaya masyarakat tidak tertipu,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Latif berkata siasatan awal mendapati modus operandi ketiga-tiga syarikat yang menjalankan perdagangan tekstil itu sama dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berkaitan antara satu sama lain.

Katanya, pengarah-pengarah syarikat warga tempatan itu termasuk pengarah syarikat ejen penghantaran berkaitan sedang disiasat mengikut Akta Kastam dan Akta Eksais.

Kastam menggesa masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dan memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.