
Tetapi katanya, Wisma Putra sudah mengeluarkan arahan kepada kedutaan di kedua-dua negara itu bersiap sedia jika ada keperluan untuk membawa pulang rakyat Malaysia.
“Keutamaan adalah keselamatan rakyat di sana. Nak ulang, siapa-siapa ada di sana atas urusan kerja, belajar atau sebagainya, harus sentiasa berhubung dengan kedutaaan.
“Sekiranya ada kalangan kita nak rancang ke sana harus berhati-hati. Nasihat kita, kalau tidak mustahak, tangguhkan perjalanan ke kawasan berdekatan konflik,” katanya selepas menemani Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat SMK Pusat Bandar Puchong I hari ini.
Beliau berkata, sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha I Kementerian Luar, Amran Mohamed Zin bersama agensi berkaitan ada membincangkan perkara itu pagi tadi.
Antara agensi itu ialah Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan.
Saifuddin berkata, ketika ini, 58 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan syarikat minyak Petronas berada di Iran, manakala 162 rakyat Malaysia, termasuk 7 pensyarah dan selebihnya kakitangan Petronas di Iraq.
Keadaan di Timur Tengah bertambah tegang apabila Tehran melancarkan peluru berpandu ke sebuah pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan tentera AS pada pagi tadi sebagai tindakan balas terhadap serangan dron AS pada Jumaat lalu menyebabkan jeneral tertinggi Iran, Qasem Soleimani terbunuh.