Kedah mungkin perlu laksana catuan air, kata menteri

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar mengiringi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meninjau pelaksanaan projek pembentungan di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah, di Langkawi hari ini.

LANGKAWI: Catuan air akan dilakukan di Kedah sekiranya masalah bekalan air mentah terus berlarutan susulan cuaca panas yang melanda negeri ketika ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Bagaimanapun menurutnya sebelum catuan dibuat, telaga tiub yang ada di Kedah akan dibuka bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk orang ramai.

“Cuaca panas kering adalah sebahagian daripada perubahan iklim, namun tahun ini ia tiba agak awal. Ia sepatutunya tiba bulan Feb, tapi tahun ini ia tiba seawal Jan, dan dijangka berlarutan sehingga bulan Mac, jadi kita sedang memantau keadaan.

“Kita sudah ada banyak telaga tiub yang dibuat sejak beberapa tahun lepas di Kedah, dan kita akan buka semua telaga itu di sampung menggali baru, bagi memastikan bekalan air mencukupi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan lawatan kerja meninjau pelaksanaan projek pembentungan di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah yang menggunakan teknologi “Advanced Moving Bed Bio-Reactor”.

Mengulas mengenai beberapa masalah berkaitan bekalan air di Langkawi yang berpunca daripada kerosakan saluran paip di dasar laut, Xavier berkata, pihak kementerian akan berusaha membaiki paip berkenaan.

“Kerosakan itu dipercayai berlaku akibat tindakan segelintir nelayan yang menunda pukat secara haram di kawasan itu. Besar kemungkinan, kita juga akan mengharamkan beberapa bot di kawasan itu supaya perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Pagi tadi, Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir yang ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Dataran Medan Bandar di Alor Setar dilaporkan berkata, paras air di empangan utama negeri iaitu Empangan Ahning, Empangan Muda dan Empangan Pedu berkurangan kepada tahap 30%, namun pihaknya sentiasa memantau keadaan itu setiap hari.

Beliau berkata, paras air di semua empangan berbeza, ada yang rendah serta ada yang tinggi, dan pihak kerajaan akan memantaunya setiap hari.