Menteri: Pelan pembaharuan persatuan sukan tangani salah laku, rasuah

Menteri: Pelan pembaharuan persatuan sukan tangani salah laku, rasuah

Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan membentangkan pelan pembaharuan persatuan sukan dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Pelan pembaharuan persatuan sukan kebangsaan mampu menangani salah laku atau gejala rasuah, sekali gus memastikan sukan tanah air “bersih”, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan membentangkan pelan pembaharuan itu dalam tempoh suku pertama tahun ini yang melibatkan antara lain aspek pentadbiran dan integriti.

“Kita mahu membersihkan semua persatuan sukan, dari segi salah laku atau rasuah. Bukan saja Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), tetapi semua persatuan.

“Ada persatuan yang bebas daripada penelitian pihak kementerian, sebab itu Pesuruhjaya Sukan sangat aktif untuk perhalusi satu persatu sistem pentadbiran dalam persatuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama peserta Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pemimpin PKBM yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Dalam kes PKBM khususnya kita telah memberikan bantuan sepenuhnya kepada pihak SPRM, sokongan sepenuhnya supaya siasatan ini dapat diadakan dengan seadil mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.